Monday, 30 December 2013

Bus Stop


"Hai Si Cantik... nak pergi mana?" Seorang lelaki mengusha perempuan kat bus stop.
 
"Nak pergi kubur, boleh hantarkan?" Balas perempuan itu.

Lelaki itu kemudian menelan air liur. Boleh pula perempuan depan dia buat lawak tak bodoh memalam gini.



celaka



Dia gengam jari jemariku. Gengaman yang hangat menyenangkan. Aku lirik dia sekilas dan sempat menangkap senyuman nipis di bibirnya. Senyuman yang dulunya bukan milikku tapi ternyata telah merubah hidupku. Sesuatu yang aku tidak perlu tetapi aku mahu!!

"Bila kau mahu beritahu dia?"

Aku terkelu mendengar pertanyaannya itu lalu menarik nafas berat dan panjang lalu menghembuskan perlahan-lahan. Sekali lagi aku pandang dia. Kali ini lebih lama. Mata kami bertentangan dan aku mulai resah. Seakan membaca keresahanku, dia mengangguk. Seperti  memberitahu yang dia faham dan tidak memaksa, jika aku belum bersedia.

"Satu saat nanti kita akan terpaksa beritahu dia juga" Nadanya lembut. Nada yang selalu buat aku rasa tenang.Selesa. Aku menunduk dan diam. Hanya mampu meramas-ramas lembut tangannya yang hangat dalam gengamanku. Dia balas gengaman tanganku.

"Maaflah.. Kerana terpaksa merasiakan hubungan kita buat masa ini" ujarku kemudian.

"Aku akan tunggu.. Sampai masa kita tidak perlu curi-curi jumpa begini. Asal kau tahu.. Aku akan tunggu kau sampai bila pun.. terlalu letih memendam rasa.. tak apa kita jumpa secara rahsia.. lebih celaka menahan rasa cinta dan berpura-pura..."

Dadaku terasa sesak mendengar ucapannya. Dia kekasih rahsia yang aku jatuh cinta secara tidak sengaja. Kebaikannya, perhatiannya..segala yang dia pernah buat untukku telah buat aku terjerat lalu ter'jatuh'
Ku kira pada mulanya, kerana aku adalah kekasih kawan baiknya. Semua kasih sayangnya itu tumpah kerana persabahatan antara mereka- itu kata akalku. Mana ku duga aku boleh jatuh cinta dengan dia. Kawan baik kekasihku sendiri. Dan paling celaka kerana dia punya 'rasa' yang sama padaku.

Beban ini menyakitkan sebenarnya. Dosa kami pada dia. Kawan baiknya merangkap kekasihku. Entah bagaiman harus beritahu hal ini padanya. Namun setiap kali kami berdua bertentang mata. Kami jadi lupa yang kami hanya kekasih rahsia. Cinta yang bergelora mungkin akan buat kami binasa.

 Ah.. Ini memang celaka.

Thursday, 26 December 2013

Curi



Tolong aku
Jatuh ini menyakitkan
Cinta ini membebankan
Kenapa dia?
Yang aku cinta
Sedangkan dia
Sudah ada yang punya

Tolonglah aku..
Hati yang berdebar aneh ini
degil-nya buat aku mati,
Mati-mati.. Mahukan dia
Yang dipunya temanku sendiri..

Tolonglah aku ini
Yang saban hari
Merobek hati sendiri
Melihat dia..
Yang aku cinta..
Pacaran dengan temanku sendiri..

Tuhan tolong
Hapuskan rasa ini
Kerana aku tak sanggup lagi
Diam-diam makan hati
Curi-curi mencintai

Tuhan tolong
Aku mohon
Carikan aku penganti
Yang cintai aku dengan sepenuh hati.

Friday, 20 December 2013

Noktah

 
Tahu apa yang menyesakkan aku?

Bila aku cuba suaikan diri aku ke dalam dunia kau yang penuh sesak itu.

Dan aku sedar... "I'm just don't belong here"

Jadi... aku noktahkan hubungan kita di sini

Selamat tinggal.

Sunday, 15 December 2013

Bagai sang hantu



Kau bertualang di belakangku
Selingkuh
Hingga akhirnya aku saksikan sendiri
Kebenaran yang tak mahu aku percaya
Dari mulut teman-temanku..

Kenapa kau buktikan mereka benar?
Dan akhiri bisik- bisik itu...
dengan kenyataan yang membunuhku

Aku fikir
 aku tak akan mampu memaafkan kau
tak mungkin memaafkanmu..
tidak mungkin

Bagai bodoh..
Tak mungkin merindui mu lagi..
Tak mungkin mahukan kau lagi..
Biar aku matikan saja kamu...
Dalam hatiku..

Bagai bodoh..
Bila kau masih bagai 'bayang-bayang'
Berlegar dalam kepalaku..
Berbisik lembut bagai sang hantu..
"aku masih hidup dalam duniamu"

Bagai bodoh..
Aku masih mahukan kamu..






Senyuman




Tahu apa yang paling meresahkan aku?
Tak berdaya.
Bila aku tak berdaya untuk buat kau kembali senyum.

Siapa yang curi senyuman kau?
Atau siapa buat kau muram sebegini
Sehingga kau tak mampu kembali senyum seperti dulu?

Siapa?

Biar aku curi senyuman dia dan serahkan pada kau.
Untuk buat kau kembali tersenyum.
Seperti dulu.
Ya
Seperti dulu.

Boleh?

Friday, 13 December 2013

mati






Aku tak mahu dengar
Apa-apa jua penjelasan mu
Titik.

Tapi sakit yang berdenyut di dadaku ini
Mematikan aku..
Aku mati
Walau masih bernyawa

Aku tak mahu tahu
Apa jua alasanmu..
Noktah.

Tapi bisa yang meracun di dadaku
Membunuh ku..
 Aku sudah tiada
Walau nafasku masih ada

Benci yang kau tanam
Sudah berakar dan menjalar
Namun membenci mu
Amat menyakitkan..

Tuhan tolong aku
Hapus..
Hapus semuanya.
Yang menyakitkan di dada ini..
Yang namanya cinta mahu pun benci.

Kerana aku ingin hidup kembali.

Tuesday, 10 December 2013

Cinta Dan Syarat




Cinta dan syarat. Itu yang Amir beritahu Amira masa Amira luahkan perasaannya pada Amir.

"Baik! Aku bagi kau cintakan aku... tapi dengan syarat." Amir kata itu.

"Syarat apa?" Soal Amira. Hairan.

"Kau ajar aku macam mana untuk jatuh cinta dengan kau pula."

Dan Amira senyum dengan syarat Amir itu. 


Sunday, 8 December 2013

Cinta tanpa syarat



“ Aku yang selalu ada di sisi dia.. tapi dia tak pernah hargai aku.. Tak kira dia susah atau senang.. aku sentiasa ada untuk dia.. dari sekecil-kecil hal.. hingga sebesar-besar masalah... aku sentiasa ada untuk dia.. di saat dia gembira.. atau di saat dia sengsara.. di saat dia sihat... atau ketika dia sakit.. Aku tidak pernah jemu berada di sisinya.. tapi dia..” Dia mengesat airmata. Jatuh cinta pada lelaki itu membuat dia berkorban macam-macam. Aku tahu hal itu.. tahu sangat.
Aku mendengus perlahan.
“ Kau cintai dia tanpa syarat?” ujarku. Dia menoleh kepadaku. Melemparkan pandangan sedikit jengkel dan selebihnya geram. Seolah-olah aku sedang memerli kata-katanya tadi.
“ Apa kau tak yakin.. ?” Tanyanya. Aku jungkit bahu.
“ Kalau kau iklas sayang dia.. tanpa syarat.. kau tak usah ungkit apa yang pernah dan sudah kau buat.. kau korban untuk dia..” Riak wajahnya berubah.
“ Atau sebenarnya kau mahu dia membalas semua pengorbanan kau.. ?” tanyaku merenung ke matanya.
“Usah berkorban terlalu banyak jika kau ingin ungkit hal itu sebagai tanda cinta kau pada dia..” Dia tidak menyahut kata-kataku, tapi yang aku tahu.. aku mungkin saja sudah mencalarkan hatinya. Maaflah kawan.. aku cuma bicara apa yang aku fikir saja..
“Aku hanya manusia biasa… hakikatnya.. iklas itu tidak semudah yang kita ungkapkan..” perlahan dia bersuara. Aku hampiri dia.. rengkuh bahunya.
“Apa yang aku ada untuk kau.. adalah kata-kata yang mungkin telah menyakiti hatimu.. dan juga pelukan ini..” Ujarku sambil meletakkan telapak tanganku ke ubun-ubunnya. Dia tersenyum.
“Bicaramu memang bisa bagai racun.... tapi aku terima kau seadanya.. jadi aku terima saja bisa racun yang kau hamburkan..” dan dia ketawa. Aku turut ketawa.. melihat dia ketawa seperti itu, aku rasa seperti menerima piala pinjaman. ya. aku berjaya buat dia ketawa, untuk kali ini. Tapi aku tahu.. yang buat dia bahagia.. hanya dia tu. lelaki yang seorang itu. yang masih tidak 'melihat' seseorang yang setiasa ada untuk dia. Si bodoh yang terus percaya pada cinta tanpa syarat.

Wednesday, 27 November 2013

Harap

 
 
Untuk apa yang telah terjadi,
Dia masih percaya dan berharap
Yang kamu itu jodoh dia.

Jodoh dia, adalah kamu.


Sunday, 24 November 2013

NARAKA?




Dari jauh dia mendengar bunyi derap langkah yang kasar. Terasa lantai bergegar setiap kali tapak kaki pemilik langkah itu datang seakan-akan menjadikan ketakutannya semakin mencengkam. Dia mula menangis ketakutan sekali pun gerangan itu belum pun muncul di depannya.
“ Masa rehat sudah habis.. jadi sekarang kau kena terima habuanmu..” Lembaga hitam yang sangat mengerunkan itu mengeluarkan rantai berduri yang tajam runcing. Sedikit masa lagi rantai berduri itu akan meratah tubuhnya seperti selalu dan dia akan menjerit derita. Tubuhnya sudah penuh calar hasil deraan lelaki itu. Tapi tidak pernah sehari pun lelaki itu bosan untuk datang mengerjakan tubuhnya. Semua sesal sudah tidak berguna lagi bak kata orang di dunia. Nasi sudah menjadi bubur. Dia akan terus menderita dan sengsara. Pekik dan jeritannya tidak berguna kerana lelaki di depannya itu tidak akan berbelas simpati. Dan seperti selalunya sekali lagi tubuhnya menerima ‘habuan’. Jeritan demi jeritan tidak sedikit pun meringankan penderitaan. Rantai berduri itu disebat bertalu-talu ke tubuhnya. Seluruh tubuhnya berdarah hingga lantai basah oleh titisan darahnya. Kesakitan akibat sebatan itu tembus sampai ke tulang temulangnya.
“Tolong!! Tolong!!!” Laungnya sekuat hati. Namun tiada siapa mendengar dan tak ada siapa pun peduli. Tak ada gunanya. Dia ingin sekali mati untuk menamatkan penderitaan itu. Malangnya dia memang sudah mati kerana dia sedang berada di dalam kubur sempitnya menunggu kiamat tiba. Sebelum tiba hari itu dia akan terus tersiksa! Terus menerima kunjungan para penurut perintah yang sedia meratah tubuhnya dengan rantai berduri itu. Hukuman yang terpaksa di laluinya di alam ini.. adakah ini barzakh?
“ Selagi tidak ada kiriman buat kamu.. jangan harap aku akan berhenti.. mujur saja ada doa-doa manusia di atas bumi yang membolehkan kau berehat 5 kali dalam sehari.. kalau tidak tunggu sajalah kiriman cinta dari anakmu yang sudah lupakan kamu itu..” Katanya dengan wajah bengis sambil tangannya terus menghayun sebatan demi sebatan. Pekikan dan lolongan masih berterusan.
“ Jaiti.. tolong mak sayang.. Jaiti.. tolong mak…”
Dia terkejut. Dadanya berombak-ombak. Peluh menitik di dahinya. Jaiti pandang wajah tenang ibunya yang masih koma. Betapa belas hatinya bila teringat mimpi itu tadi. Tubuh ibunya di bantai tanpa belas. Tangisnya pecah. Dia terhinjut-hinjut menahan esakan. Jaiti terpana seketika bila bahunya di sentuh seseorang. Dia berpaling. Cepat-cepat mengesat airmata.
“ kenapa nak?” Tanya seorang tua.
“ Saya bermimpi.. dasyat sekali!” jawab Jaiti sambil mengengam tangan ibunya dengan kasih sayang. Tak sanggup rasanya mengingatkan mimpi itu.
“ Berdoalah nak.. teruskan berbisik dua kalimah syahadah ke telinga ibumu.. baca lah apa surah yang kamu tahu.. jangan lupa. Doa anak yang solehah akan menyelamatkan ibu bapanya di alam barzark..” dan lelaki tua itu berlalu.
“ Tapi pakcik..” Jaiti terhenti. Lelaki berbaju putih itu lenyap begitu cepat.
“ Cik.. mana perginya pakcik tadi tu..?” tanya Jaiti pada jururawat yang dari tadi di katil sebelah memeriksa pesakit. Jururawat itu memandangnya dengan wajah pelik.
“ Pakcik yang mana pula? Dari tadi adik ni cakap sorang-sorang..ingatkan mengigau tadi,  naik meremang bulu roma akak! Hospital memang macam ni.. macam-macam ada..  sudahlah tu! Baik adik pergi basuh muka dan minum kopi.. adik mengantuk agaknya..” Jururawat itu berlalu membiarkan Jaiti terpingah-pingah.
“ Ya Allah ya tuhanku.. aku mohon padaMu.. ampunkanlah dosa-dosa ibuku.. berilah belas kasihMu padanya ya Allah.. Aku mohon ya Allah..!” Airmatanya gugur berlinangan lagi. Teringat kata-kata orang tua tadi. Hanya doa saja yang dia ada sebagai senjata buat masa ini. Dia segera mencapai surah yassin dan membaca perlahan. Ketika kusyuk membaca terasa gengaman tangannya dibalas. Jaiti tersentak lalu melihat ke wajah ibunya. Perlahan-lahan mata ibunya terbuka.
“ Jaiti..Jaiti.. terima kasih nak..” kata ibunya dengan nada tersekat-sekat. Bibir ibunya bergetar.
“ Ya.. mak.. Jaiti di sini.. mak.. syukur alhamdulilah.. mak dah sedar.. dah  hampir seminggu mak koma.. alhamdulilah ya Allah!” kata Jaiti gembira dengan berlinangan airmata. Mahu saja di terkamnya si ibu tetapi terpaksa ditahannya gembira di hati kerana ibunya baru saja sedarkan diri, masih tak kuat lagi.
“ Alhamdulilah nak.. ini semua berkat doa kau Jaiti.. kau yang selamatkan mak..” kata-kata ibunya buat Jaiti keliru. Ibunya tersenyum nipis.
“ Apa maksud mak?” tanyanya inginkan kepastian. Tangan ibunya di ambil dan di kecup perlahan. Dia tak pernah lupa tangan itulah yang selalu menepuk punggungnya sambil berdodoi hingga dia terlena waktu kecil dulu. Tangan ibu yang dikasihinya itulah yang menyuapkan nasi ke mulutnya!
“ Jaiti.. Mak bermimpi..  sedang disiksa dengan rantai berduri oleh makhluk yang sungguh menakutkan.. Ia kata namanya Mungkar. Mungkinkah malaikat Mungkar.. Dan makhluk itu berhenti membelasah mak sebaik saja bergema suara Jaiti di langit.. memohon di ampunkan dosa-dosa mak… dan kemudiannya mak berada di padang yang sungguh luas tetapi penuh kabus.. Mak tak dapat lihat apa-apa kecuali terdengar bacaan surah yasin, Mak terus kejar suara bacaan surah yassin itu lalu bila kabus itu lenyap mak nampak Jaiti ada di depan mak.. sedang membaca surah yassin.. terima kasih Jaiti..” Ibunya mengalirkan airmata. Bersyukur kerana masih ada peluang kedua.
“ Benarkah mak..?” Ibunya mengangguk.
“Jaiti.. sebelum mak dilepaskan oleh makhluk itu.. ia telah memberitahu mak.. mak disiksa kerana adikmu Suhana..  Mak tak didik Suhana dengan baik. Mak tak cukup tegas dengan dia. Sebab tu Suhana mudah rosak.. Mak mudah putus asa menasihati Suhana.Kini Suhana asyik buat dosa, sebab itulah mak telah disiksa, jadi sayang.. kalau boleh... kita cari Suhana. Kita pimpin dia ke jalan yang benar.. mak nak mohon ampun maaf dengan Suhana.. mak pernah halau dia sebab tak restu hubungan dia dengan suami orang  tu..  kita cari Suhana ya nak.. benar syurga anak terletak di telapak kaki bonda.. tapi neraka ibu juga ada di tangan anak-anak.. ibu kesal dengan apa yang pernah berlaku Jaiti.. ibu mohon maaf sangat-sangat..”  kedengaran esakan si Ibu, Jaiti mengangguk perlahan. Si ibu dipeluknya erat.
“ Baik mak.. kita akan cari Suhana.. kita akan cari dia sampai dapat. Insyallah mak.. kita akan bawa balik Suhana.. Nanti kita ajak dia kumpul sama-sama macam dulu!” Mereka tidak sedar di belakang pintu tidak jauh dari situ Suhana sedang menahan ombak di dada. Dia terdengar semua perbualan ibunya dan kakaknya Jaiti. Dia dengar dengan jelas setiap patah perkataan dari mulut mereka berdua. Dia bencikan ibunya selama ini. Ibunya adalah punca hidupnya musnah. Kerana Ibunya, dia terlepas cinta sejati. Dia kesal kenapa ibunya tidak terima saja keputusannya untuk jadi isteri kedua. Kerana tentangan ibunya membuat kekasih hatinya kembali pada isteri pertama. Dia benci Ibu.Tapi entah kenapa dia datang juga ke hospital itu untuk melihat ibunya. Pada mulanya dia teringin memuntahkan kata-kata benci dan amarahnya kepada ibunya yang koma itu. Dia ingin memaki hamun ibunya. Memang itu niatnya. Dendam di hatinya, pada ibu telah menyala sekian lama. Namun setelah tercuri dengar akan perbualan ibunya dengan kakaknya tadi, nyalaan dendamnya padam serta merta. Bagaikan magik! Dia segera menyentuh perutnya. Mengusap perlahan. Hatinya sayu. Dia teringat akan bayi luar nikahnya yang telah  dijual kepada pasangan kaya raya. Pasti anak itu tidak akan menyelamatkannya dari api neraka kelak.. Airmatanya gugur lagi. Tapi kali ini ia adalah aimata keinsafan.  Dia mengesat airmata. Teringat kata-kata lelaki tua berjanggut putih yang menyapanya ketika mula-mula datang ke hospital itu tadi.
“Anak.. anak ni nama Suhana kan.. Ibu kamu perlukan kamu sekarang. Pakcik tahu kamu bersengketa dengan ibu kamu.. tapi ingat ya nak.. tak mencium bau syurga jika kamu derhaka pada ibu kamu.. pergilah jumpa ibu kamu nak..” Suhana merasa pelik dengan kata-kata lelaki tua itu. Kenapa secara tiba-tiba? Dia mengaru kepalanya kerana bingung.
“ Pakcik ni siapa sebenarnya?” tanya Suhana tetapi pakcik itu sudah ghaib entah ke mana. Ketika itu Suhana tidak pasti adakah lelaki tua berjanggut putih dan berjubah putih itu adalah manusia ataupun hanyalah khayalannya saja. Halusnasi semata.  Tapi kini Suhana yakin.. dia diberi peluang kedua setelah mendengar perbualan ibunya dan kakaknya Jaiti. Dia menarik nafas panjang dan perlahan-lahan memberanikan diri melangkah ke muka pintu, menghadapi kedua orang insan yang sebenarnya menyayanginya.
“ Mak.. Suhana datang mak..”katanya dengan suara serak dan bergetar! Kedua wanita di depannya menoleh hampir serentak. Suhana dengan bibir bergetar berdiri tidak jauh dari situ.
“ AllahhuAkbar…!” Bisik Jaiti spontan.


Nota Penting: cerita adalah rekaan semata-mata.
p/s : cerpen ini berasal dari SINI
 

Friday, 22 November 2013

Ruang Masa

Sedang asyik duduk tersandar... dengan benang dan jarum kait di sisi, sambil sebelah lagi tangan mengurut tangan yang satu lagi(kebas), aku merenung langit yang mendung, hujan rintih kecil sedang membasahi bumi... '...wahai sahabat, andai ada ruang masa bual antara kita agaknya, apakah ayat yang paling sesuai untuk gambarkn betapa rindu momen kita berebut cerita¿'

Mesej whatsapp masuk....
'...yang... hujung minggu ni siapkan order aku kan? pls.... sian kat aku... lama tunggu ni, x sabar...'

'...ya insyaallah, hampir siap... dah siap nanti aku bgtahu ok¿'
Tekan butang dan hantar

Mengelamun¿
Oh... terima kasih untuk segala momen yang indah kawan... Harap aku masih ada harapan atau paling kurang, kawan yang memahami aku...

Friday, 15 November 2013

Khilaf

'...aku kira, untuk tiap-tiap satu khilaf yang tertumpah, palitannya mengenai sesuatu yang bernyawa tidak lain tidak bukan sebagai tanda SAYANG DIA terus buat kamu. Nah! ambil putus untuk canangkan atau simpan ceritera aib kamu di tingkat yang mana satu. PALING ATAS... atau sebaliknya...'

Aku¿¡
Sedang mikirin sesuatu yang terlintas dan dilintaskan di hadapanku dengan penuh syukur.

Gebang lebih¿¡
Aku¿¡
Alhamdulillah, semoga yang baik-bagus hinggap qalbu kamu dengan mewangi; Cinta-Nya

Tuesday, 12 November 2013

Gigit


Saya ada gigi.
Gigi saya tajam macam vampire.
Jadi, boleh saya gigit awak sampai mati?
Sebab saya sedang bengang dengan awak.
Heeee. Sekian.





Sunday, 10 November 2013

Sayang


"Sini sayang..." Aku panggil dia. Matanya yang comel itu memandang aku.

"Sini..." Aku panggil lagi, kali ini dengan gerakan tangan. Akhirnya dia dekati aku.

"Ibu sayang kamu, tahu?” Aku bersuara sebelum aku memeluk dan mencium pipinya yang montel itu dengan penuh kasih sayang. Dia ukirkan senyuman dan ketawa. Nampaknya dia sudah mengenali aku.

Jaga diri. Nanti Ibu datang lagi, bacakan kamu cerita.” Aku bersuara sekali lagi sebelum aku menghilangkan diri sekali lagi. Aku lihat dia menangis, tapi aku tak mampu pujuk dia seperti dulu lagi. Maaf sayang, dunia kita kini berbeza. Jaga diri, Ibu sayang kamu.



Wednesday, 6 November 2013

Jatuh Cinta


Bila saya jatuh cinta,
Hati saya akan berbunga-bunga
Sampaikan saya rasa mahu bagi awak bunga
Walau awak cakap awak tak suka bunga.

Friday, 1 November 2013

Ketetapan


Kita sebenarnya tak pernah jatuh cinta antara satu sama lain. 
Pada permulaannnya, bukan?

Ia cuma permainan perasaan yang kita ciptakan pada satu sama lain, sehingga jadi begini. 

Cinta. 

Jodoh.

Aku dan kau.

Yang DIA telah tetapkan. 

Tuesday, 22 October 2013

Kita #2: Johor Bharu.



“Hai!” Sapa Umairah dengan gembira tatkala melihat kelibat Ikhwan di restoran.
Ikhwan hanya mampu mengukirkan senyuman.

 “By the way… kenapa kau beria-ia nak suruh aku jumpa kau kalau aku turun JB?” Soal Umairah setelah mengambil tempat berhadapan sahabatnya.
Ikhwan memandang Umairah dengan senyuman.

“Ingat tak apa yang aku janji dengan kau, kalau kau turun JB?”
Umairah menggeleng.

Ikhwan mengeluarkan sesuatu dari plastic yang berada di sebelahnya. Ditolak bekas yang berisi aiskrim kepada Umairah.

“Aku janji nak belanja kau aiskrim kalau kau turun JB.” Ujar Ikhwan.
Umairah mengeluh. “Did you know that I…”

“Don’t like ice cream anymore. Aku tahu tu, Mai,” Ikhwan mencelah dan Umairah hanya mengukirkan senyuman tawar.

“Aku nak Umairah Khalilah yang dulu. Yang akan tersenyum, excited setiap kali nampak ice cream.”

Umairah melepaskan keluhan sekali lagi. Tiba-tiba saja hatinya sebak.

“KAu dah kenapa nak buat aku sebak di hari yang indah ni?”

Ikhwan hanya mengukirkan senyuman. “Mai… aku cuma nak Umairah Khalilah yang aku kenal dulu.”

“Yang depan kau ni, bukan Umairah Khalilah? Aku still diri aku yang dulu bila dengan kau. Only you.”

Ikhwan menggelengkan kepala. “Tak. Kau bukan Umairah Khalilah yang aku pernah kenal dulu. Kau dah banyak berubah.”

“People change when they get hurt,” balas Umairah.

Ikhwan mengeluh, Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi.

“Kau tak suka ke diri aku yang ini? Aku rasa aku lagi suka diri aku yang ini. Yang lagi happy than before.”

“I like the new you but I more like the old you,” ayat yang keluar dari mulut Ikhwan membuatkan Umairah menelan air liur.

“Tukar topic please,” Umairah merayu. Jujur, dia mahu saja menangis. Ayat Ikhwan membuatkan dia teringatkan seseorang.

“OK. Apa yang kita nak bualkan?”

“Bila kau bertolak pergi UK?” Soal Umairah pula.

“Next month. But before that, aku nak bagi kau sesuatu. Aku ingat aku kena pergi KL just only nak bagi kau ini,” ujar Ikhwan sebelum meletakkan satu kotak yang berbalut di hadapan Umairah.

“Apakah ini?” Soal Umairah sambil membelek kotak di hadapannya. Cantik !

“Your birthday present. Aku dengan Aina belikan ini untuk kau. Aku dah tak boleh celebrate birthday kau lagi,” terang Ikhwan.

“Cehh! Yang pergi UK… kau je, bukan tunang kau. Aina still ada kat Malaysia. Kalau kau tak ada, Aina ada. ”

Ikhwan ketawa kecil.

“Apa dalam kotak ni?” Soal Umairah, menukar topic perbualan.

“Benda yang paling kau sayang, buku.” Jawapan Ikhwan membuatkan Umairah tersenyum tawar.

“Buku apa? Kenapa perlu buku? Ada nota cinta kah?” Usik Umairah.

“Sebab aku dengan Aina rasa hanya dengan buku, kau boleh jadi diri kau yang dulu. Dah lama kau tak baca buku kan?”

“Wan, please. Don’t hurt me.”

“That’s the truth babe. Aku nak kau yang dulu. Aku harap satu hari nanti kau akan call aku, cakap yang kau dah fall in love with someone again. Someone yang kau percaya dia adalah jodoh yang Allah turunkan untuk kau.”

Umairah mengukirkan senyuman tawar.

“Promise me with that?” Ikhwan bersuara sekali lagi.
Umairah menganggukkan kepala.

“And janji dengan aku sekali lagi…”

“Apa? Banyak betul lah perjanjian ni. Huh!” Umairah melenting dan Ikhwan  hanya ketawa kecil.

“Janji dengan aku yang kau akan buka kotak ni on your birthday.”

“OK!”

“Good girl. Dan ice cream ni kau betul tak nak?” Soal Ikhwan lagi.

“Tak nak. Kau bagi je dekat tunang kau tu. Aku tak suka.”

Ikhwan menganggukkan kepala sebelum dia dan Umairah kembali berbual seperti dulu. Seperti seorang sahabat dengan sahabatnya, berkongsi masalah, bercerita itu dan ini dan jujur itu membuatkan Umairah senyum sekali lagi.




Sunday, 20 October 2013

Hitam



Aku terjaga. Aku mimpikan dia lagi. Bayangan wajahnya yang membeku masih begitu pekat dalam kotak ingatanku. Benar-benar memberi satu kesan yang menyakitkan. Aku seperti terdengar bisikannya.
“Selamat datang ke duniaku”
 Dadaku berdebar aneh. Terasa ada seseorang sedang memerhatikanku ketika ini. Pantas aku menoleh ke arah jenjela yang terbuka. Bibirku ternganga. Dia sedang merenungku dengan senyuman yang terlalu misteri untuk diterjemahkan.
“ kau?” tanyaku kaget. Dia mengangguk dengan riak muka kemenangan.
“Ya aku.. Mulai kini kita.. aku akan selalu bersamamu..” katanya dengan nada gembira.
“Tidakkkkk!” jeritku marah. Cukup sudah aku lihat dia yang menyedihkan itu. Aku tidak mahu lagi masuk campur dalam dunianya yang kusut masai itu. Dia terlalu serabut! Tidak boleh di selamatkan lagi!!
“ Aku akan selalu ada dengan kamu.. usah mengelak lagi” Katanya tegas. Dia bangkit menghampiri dan aku seperti terkaku di tempatku. Dia menyeringai.
“Usah takut…” Dia menerkam memelukku. Dingin. Tubuhnya dingin sekali. Entah kenapa airmataku mengalir kesedihan bila merasakan tubuhnya yang dingin itu. Aku tahu hatinya lebih dingin dari itu.
“ Kenapa kau menangis?” Katanya marah
“Kenapa kau begini? Kenapa kau mahu bawa aku ke duniamu yang kucai kacir itu? tempat ku di sini.. bukan di duniamu yang HITAM..” kataku hampir tersedu.
“ Sebab kau sayang padaku.. sebab kau! Hanya kau yang mahukan aku!!” katanya dengan sayu. Bibirnya pucat membiru. Airmataku gugur dan menitis ke jari dinginnya yang sedang mengusap pipiku.
“Lihat..” Katanya sambil menarik ku ke depan.
“ Lihat…” bisiknya lagi. Aku melihat dia di dalam cermin. Matanya bergelang hitam. Bibirnya pucat membiru. Dia kelihatan sungguh teruk. Rambutnya berantakan.
“ kau kelihatan teruk” kataku terus terang. Spontan dia mencebik.
“ Semua itu salahmu..” tuduhnya. Aku mengeleng. Aku menyentuh cermin… gambaran dia bersatu dalam cermin itu. Bersatu dengan bayanganku! Ah.. aku lupa beritahu.. dia itu aku!!

Friday, 18 October 2013

Kita #1: Facebook


“Susahnya nak goda awak supaya fall in love dengan saya.”

Status itu diupdate di Facebook. Beberapa minit kemudian, seseorang komen di status tersebut.

“Siapa yang kau nak usha? Meh aku tolong ushakan.”

Umairah tersenyum membaca komen dari Ikhwan.

“Nak usha kau la. Kau jual mahal sangat!”

“Haha. Lawak lah kau ni. Aku ajak datang sini nak belanja kau ice cream, kau tak mahu. Konon bz tersangat.”

Umairah mencebik. Terasa dengan ayat Ikhwan. Akhirnya komen dari sahabatnya dibiarkan sahaja sebegitu tanpa balasan.

Dan sebelum tidur, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada mesej masuk.

Aku serius tentang aku nak belanja kau ice cream. Even kau cakap kau dah tak suka ice cream. Aku belanja kau something else. Yang akan buat kau senyum seperti dulu. Bila kau datang Johor, bagitahu la. KL dengan Johor tak jauh pun. Nite. 

-Aliff Ikhwan-


Umairah mengukirkan senyuman setelah selesai membaca SMS tersebut.

“Aku dah senyum bila baca mesej kau ni ha. Selamat malam Aliff Ikhwan,” ujar Umairah sendirian sambil menggeliat sebelum bergerak ke katil. SMS dari Ikhwan dibiarkan sahaja. Esok pagi dia balas. Itupun kalau dia mahu.





 p/s: Bersambung di entry lain. Hiks. :D


Wednesday, 16 October 2013

Daerah Kita


Bibirku terukir senyuman
Dalam hatiku ada rasa manis yang mengembang
Hingga ia mengalir ke seluruhnya deria rasa..
Mataku bercahaya..
rasa yang sungguh mengkhayalkan..
Separa sedar aku berbisik..
“ gila..”
Ya.. aku seperti sewel bila tersenyum sendiri
Sebegini..
Takkala aku kembali ke daerah itu
Daerah kita..
Daerah yang sudah lama kita tinggalkan
Daerah itu jarang ku lawati..
Daerah itu hanya ada di sini..
Dalam lipatan memori.. dalam hatiku.
Daerah itu adalah cerita kita
Kau.. aku.. dia.. kita!
Saat gelak ketawa…
Saat semua yang manis kita nikmati..
Semuanya tidak sama lagi..
Kau .. aku .. dia..
Kita tidak sama lagi..
Tapi rasa manis di daerah itu masih sama..
Ya.. kawan.
Bila aku rindukan kamu..
Aku akan melawat ke sana
Daerah kita..
‘Melihat’ gelak ketawa kita di situ
Turut sama tergelak..
Turut sama tertawa..
‘melihat’ kita yang dulu..
Menikmati rasa manis itu lagi..
Rasa itu tidak pernah pudar..
Walaupun rakaman cerita kita semakin kabur
Semakin mengecil ruang ingatan yang tersisa..
Rasa manis yang kita sama-sama pernah lalui
Masih sama manisnya..
Ya.. kawan.
Aku harap rasa manis ini terus mengingatkan aku tentang kamu..
Tentang kita..

Sunday, 13 October 2013

Biar saja



Kalau kau itu umpama buku
Sudah lama aku baca apa kata hatimu..

Kalau lah kau tahu rasia hatiku
Mungkin saja kau tak berlaku begitu.....

Aku pandang kau
Kau pandang dia..

Aku suka kau..
Kau suka dia..

Kau yakin satu hari nanti yang dia
Akan pandang kau..

Dan aku yakin nantinya kau tahu..
Aku saja yang paling setia...

Apa sudahnya.. ah. Biar kan saja
Untuk masa ini.. biar saja kita begini...

Friday, 11 October 2013

Kisah Kita(sahabat)

Epal dan buku...
Ya¿¡  dan jendela yang terus tuju andai kelibatmu mampir di halamanku.
Hurmmm...
Huh¿¡...
Dia sudah pergi jauh...
Macamana tahu¿¡...
Pernah suatu ketika, dia berseloroh, '...bila pokok epal aku dah berbuah, aku nak pergi bandar, aku nak belajar sesuatu yang hebat tentang epal...¡ sebagai balasan untuk obat rindu kau kat aku, sebuah buku dan sebuah epal ranum khusus untuk kau... tu... aku sisipkan senyap-senyap kat jendela sana nun...'
Bila aku tanya, dia jawab gini, '...tak tahulah, kalau kau addict dengan pokok mawar dan crochet... aku gila epal...¡'
Ya....
Epal, buku dan jendela sangat unik untuk sebuah persahabatan kerdil cerita kita.
Wahai sahabatku... Selamat capai apa jua matlamat yang kau impikan di bandar sana.
~Pernah disiarkan di Pages Genre Dari Langit @Nani Zuliana~

Thursday, 10 October 2013

Semalam



Semalam, aku lihat dia menangis lagi.

Kenapa adik menangis?” Aku keluarkan soalan. Tapi ah, tentunya dia tak mampu mendengar.

Abang tengoklah… dia buat adik menangis lagi. Sekali lagi. Tak boleh ke abang  pergi marah dia? Pergi marah dia.” Tiba-tiba sahaja dia bersuara ibarat aku ini berada di depan matanya. Dan ya, dengan tangisan.

“Kenapa dia buat adik macam ni? Apa dosa adik pada dia? Adik tak buat apa-apa pun. Tak usik pun dia. Pergilah marah dia. Abang pergi cari dia  di ‘sana’ dan pergi marah dia.” Aku dengar saja apa yang keluar dari mulut dia.

Aku senyum sambil menggelengkan kepala. Maaf, aku tak mampu untuk tunaikan permintaannya yang itu. Siapa ‘dia’ yang adik ceritakan itu, aku tahu tapi aku tak mampu laksanakan apa yang dia mahukan. Itu di luar kuasa aku. Semuanya DIA yang aturkan. Aku di sini kerana DIA. Di sebelah dia.

Kenapa abang tak muncul lagi? ‘Berbual’ lah dengan adik macam waktu tu….” Sekali lagi dia bersuara dengan air mata di pipi. Dan aku hanya mampu mengukirkan senyuman yang dia tak mampu lihat. Dunia aku dan dunia dia berbeza.

Aku selalu ada untuk dia. Selalu dengar luahannya. Tapi aku tak mampu memberi  atau menunjukkan sebarang petanda yang aku sedang mendengar apa yang dia ceritakan pada aku. Aku tak mampu lagi berbual dengan dia seperti dulu. Itu untuk ajar dia terus tabah. Jadi, aku harapkan sahaja, dalam apa jua, mengadulah pada DIA. DIA maha mendengar dan Maha Memahami. DIA yang aturkan hidup dia sekarang ini.

Ah… siapa aku? Aku adalah abang yang akan berada di sisi adiknya setiap kali dia menangis. Yang tidak kelihatan tapi dipercayai wujud bagi dia. Dan wanita yang menceritakan perihal aku pada dia. Terima kasih untuk itu.







Friday, 4 October 2013

Mati



"Pergi saja mati kalau kau itu bakal mati. Tak usah risau tentang dia dan berlagak yang kau itu masih hidup dalam hati dia. "

Tuesday, 1 October 2013

Senyum


"Bacakan aku satu cerita?"Aku bersuara

"Cerita apa?"Dia menyoal.

"Cerita yang bikin kamu tersenyum dan aku pasti aku akan tersenyum melihat senyuman kamu."

"Baik! Aku ceritakan tentang seseorang yang selalu buat aku tersenyum. Mahu tahu siapa dia?"

Aku menganggukkan kepala.

"Cerita tentang kamu." 

Senyuman aku makin melebar.


Saturday, 28 September 2013

Masih Cinta



Masih cintakan aku?” Aku soal padanya.

Kau rasa?” Dia jawab soalan aku dengan soalan. Dan aku cuma senyum tawar sahaja.

Aku rasa ya.

Bagaimana kau pasti?

Aku ikut gerak hati.” Aku lihat dia ukirkan senyuman sinis tatkala mendengar jawapan aku yang ini.

Pernah lihat hati aku ketika itu?

Aku menelan air liur. Tidak tahu sama ada patut dinafikan atau diiyakan sahaja.

Jika kau tak lihat hati aku yang kau lukakan itu, tidak perlu berlagak seolah kau tahu semuanya.”

Aku dapat kesan nada marah dalam ayatnya itu. Aku pandang wajahnya, memandang tepat ke arah anak matanya yang berwarna coklat itu, tapi dia alihkan wajahnya dari aku. Dia memalingkan tubuhnya sebelum melangkah pergi.

Jikalau aku katakan YA? Ya, aku lihat hati kau yang aku lukakan itu.” Aku lihat langkahnya terhenti sebelum dia kembali memandang ke arah aku.

Kalau…” Dia ukirkan senyuman sinis. “Tapi kita berdua tahu, kau tak lakukan itu.”

“Tapi, aku dapat rasakan, bukan melihat.”

Sekali lagi dia ukirkan senyuman sinis. Senyuman yang penuh dengan rasa benci.

“Kau tak tahu apa-apa tentang aku.”

“Tapi aku tahu kau terluka sebab aku.” Aku lihat dia mahu mengankat tangannya, mahu menampar aku, tapi dia tak lakukan itu. Dia jatuhkan tangannya kembali dengan senyuman sinis dilontarkan pada aku sekali lagi.

Jika sakiti aku mampu buat kau tenang, lakukan saja,” Aku katakan itu pada dia. Air matanya mula jatuh. Dia pandang aku sebelum mengesat air matanya. Dan dia kembali memalingkan tubuhnya, melangkah pergi.

 “Biarkan aku rawat hati kau yang aku lukakan itu,” aku bersuara sekali lagi. Sekali lagi langkahnya terhenti sebelum dia memalingkan tubuhnya ke arah aku.

Begini sajalah, kalau kau mahu rawat hati aku yang kau lukakan itu, minta saja pada DIA. Sebab aku sudah serahkan hati aku yang kau lukakan tu pada DIA. Tapi tentunya DIA tak akan bagi,” ujarnya dengan sinis sebelum melangkah pergi. Dan aku hanya mampu mengeluh melihat pemergiannya.

Dan tiba-tiba sahaja, hati aku sakit. Yang teramat! Dan saat itu juga, aku tertanya-tanya adakah ini balasan dari DIA sebab menyakiti hati dia? Dan saat itulah aku juga tahu, dia masih cinta pada aku. Cinta yang telah buat dia sakit.



Wednesday, 25 September 2013

Hujan


DIA turunkan hujan
Untuk buat kamu tersenyum
Untuk kamu tahu yang kamu tidak keseorangan

Untuk aku melihat air mata yang kamu sembunyikan itu

Aku ada. 
Selalu ada untuk kamu.
Memerhatikan kamu. 
Menjaga kamu dari jauh.
Tapi tak akan mampu untuk munculkan diri 

Walau apa hal,
Mengadu sahaja pada DIA.
DIA lebih memahami.

Jaga diri.

Monday, 23 September 2013

Kawan


Hai kawan yang aku sayangi sampai mati,

Terima kasih sudi bersama aku
Di saat aku jatuh,
Di saat tak ada sesiapa mahu hulurkan tangan 
Untuk aku bangun semula ketika itu.

Terima kasih sudi terima kekurangan diri aku.

Terima kasih sayangi aku seperti ahli keluarga sendiri.

Terima kasih pada DIA sebab hadiahkan kamu pada aku

Maaf jika kata-kata aku pernah sakiti kamu

Aku sayang kamu. 
Tahu itu?

Jaga diri.


Saturday, 21 September 2013

Haluan



Begini sahaja...
Kita bawa haluan masing-masing
Supaya masing-masing tak akan lagi terluka
Dengan masing-masing.
Boleh?


Aku tak mahu lukakan hati kamu
Atau hati aku lagi.


Tak apa.
Aku akan baik-baik saja
Tanpa kamu.


Jaga diri.


Thursday, 19 September 2013

AKU



Antara manusia-manusia yang aku ketemu di dunia ini,

Hanya satu yang aku takuti.
Iaitu AKU.

Diri aku yang satu lagi.
Yang dipenuhi bayangan kamu.

Saturday, 14 September 2013

Takut


Satu perasaan muncul. Takut.
Kali kedua perasaan muncul. Takut dan takut.
Dan kali ketiga perasaan muncul, masih lagi rasa takut.

Mahu memandang muka kamu pun aku tidak mampu.
Apatah lagi menulis dengan hati seperti dulu.
Semuanya sebab kamu.

Kamu takutkan aku, tahu?

Friday, 13 September 2013

Satu Hari Nanti


Aku harap satu hari nanti aku mampu tulis kisah kita berdua untuk tatapan kita.

Aku dan kau.

Ya.
Kita berdua sahaja. 

Jadi, izinkan aku coret sesuatu tentang kamu di sini.
Sesuatu yang manis di hati aku.
Boleh?

Wednesday, 11 September 2013

Busuk

Hati yang busuk
Akan keluarkan bau busuknya
Melalui lidahnya..

Jaga-jaga

Lidah yang busuk
Akan tikam banyak hati
Panggil banyak musuh
Tarik gelombang dendam

Kalau jumpa hati yang busuk ini..
Jangan lawan dengan lidah...
Kita lawan dengan bantuan DIA.

Boleh?

Tuesday, 10 September 2013

Puisi



Bacakan aku satu puisi boleh?” pinta aku.

Puisi apa?” Soalnya.

Puisi gembira.

Untuk?

Sebab aku mahu saja menangis,” balas aku dengan muram.

Maaf.”Aku lihat dia menggelengkan kepala. 

Kenapa?” Aku hairan dengan kata maafnya.

Aku tak pandai berpuisi seperti kamu.”

Aku mencebik. Kecewa dengan sedikit rasa rajuk.

Tapi aku tahu yang satu perkara yang boleh buat kamu tersenyum…” dia kembali bersuara sebelum menghilangkan diri untuk beberapa minit.

Nah! Untuk kamu.” 

Aku lihat dia tersenyum sambil menghulurkan aiskrim pada aku. Dan aku hanya tersenyum tawar sahaja. Tiba-tiba saja dia buat aku teringatkan seseorang.

Habis!