Wednesday 31 December 2014

Banyak fikir



rupanya aku saja yang banyak fikir..

rupanya kamu baik-baik saja..

aku saja yang fikir bukan-bukan.


dalam kotak kepala aku ni ada macam-macam tentang kamu

kamu..

kamu..

dan kamu..

tapi kamu marah sekejap saja.

esok lusa kamu buat macam tak ada apa

Aku baru nak cakap 'sorry'

tapi kamu sudah maafkan aku..

buat aku malu dengan diri sendiri..

rasa nak menyorok dalam almari..

Makin lama,

aku banyak habiskan masa fikir pasal kamu

aku fikir tentu rasa kekok

kalau nak cakap dengan kamu lepas hal hari tu

tapi tak sangka cuma aku yang rasa kekok macam tu

kamu buat biasa macam tak ada apa?!

fuh.. sebenarnya aku lega.

Aku memang tak faham kamu

Sampai bila pun aku tak akan faham kamu.. mungkin.

Mungkin sebab itu aku banyak fikir pasal kamu??

hurm....












Tuesday 30 December 2014

Mesej



Perangai macam setan! tiba-tiba saja buat hal. suka hati dia saja nak hentam orang sana sini!!

Bencinya....!!!

" Dia banyak masalah.. tu yang terbawa-bawa dengan semua orang"

Beritahu mike. Aku mendengus. Orang lain pun ada masalah juga!

" Dia kena buang kerja beberapa hari lepas"

Dum! halilitar terpanah. Aku terkedu. Rasa marah dan benci tadi berubah rupa.

"Omg!"

Maaf... maaf..maaf.. aku tak tahu. rasa macam pipi kena penampar pun ada.

Macam duri dalam daging rasa bersalah mengigit-gigit. Perlu tak aku hantar mesej dengan dia? perlu tak aku minta maaf? aku memang cakap kasar dengan dia-yelah! dah dia buat aku naik angin. Tapi apa aku nak cakap? nanti kalau aku cakap aku minta maaf sebab tak tahu angin dia tak baik sebab dah hilang kerja.. nanti dia marah dengan mike pula sebab dah bagitau 'hal dia dipecat' tu. lagipun orang lelaki ni ego sikit. manalah dia nak orang perempuan kesian dengan dia.

Tapi.....

Aku nak cakap yang aku minta maaf sebab aku dah cakap dia macam-macam masa aku naik angin dengan perangai dia tu, aku tak mahu dia benci aku walaupun mungkin dah terlambat - dia memang dah benci pun! yelah.. aku pun benci dia juga masa tu sebelum aku tahu masalah dia. I really wanna fix this!

Tapi...

aku cakap sekarang ke.. atau tunggu angin dia okay sikit? ke.. aku buat tak tahu saja?

Aku tahu rasanya bila masalah sedang menyesak.. rasanya seluruh dunia sedang bencikan aku. Mungkin sekarang ni dia pun rasa macam tu.. hurm..


' tik.. tak..tik..tak...'

Dia tu memang garang orangnya. Tapi tu bukan alasan untuk aku benci dia kan? agaknya apa riaksi dia kalau aku hantar mesej ya?

paling penting apa aku nak cakap dalam mesej aku tu??


eh.. korang. Tolong lah.. bagi pendapat sikit?




Monday 22 December 2014

Percaya



Jalan ini banyak sungguh simpang siur
aku letih
aku penat

aku tersungkur
luka berdarah
sakitnya kadang buat aku menangis

yang indah-indah itu..
aku nampak dalam cerita tv
atau dalam novel..
atau dalam wayang..

cerita indah itu bukan untuk aku
aku selalu menangis
aku selalu merintih
aku selalu mengeluh

aku...

aku masih di sini
bangun kembali
walau berapa banyak kali aku jatuh..

masih jauh.. tapi aku percaya
di hujung terowong gelap yang panjang
ada cahaya..

dan aku tersenyum bila ingat itu!





"jadi mari... sambut tanganku. jom kita langkah bersama.. kesat airmata dan kita bangun semula"






Sunday 21 December 2014

Terkubur




Bila sampai satu saat, semua ini akan terkubur.

Aku
Kau
Kita.

Bakal menjadi asing pada satu sama lain.



Saturday 20 December 2014

Aku Buku dan Kamu



Tiba-tiba terpandang dia. Dia jalan beriringan dengan gadis itu lagi sambil berbual-bual, mereka ketawa.. mereka tergelak.. mereka bergurau senda..

ouch.. sakit!

Bodoh! kenapa dada ini rasa sakit pula?

Aku mengigit bibir. Aku segera berpaling dan berfikir... bagaimana caranya aku 'membuang' rasa sakit yang aneh ini dari dadaku.. ia berulang setiapkali aku melihat dia bersama gadis itu.

" Hai.." tegurnya. Aku terkejut, buku di tangan terjatuh. Dia terpacak di depanku, tunduk dan mengutip buku itu untuk aku. Aku terpegun. Mengkagumi betapa kacaknya dia.

" Eh.. hai... terkejutlah" Balasku. Dia ketawa. Gemersik suara ketawanya begitu indah sampai aku rasa dunia ini aku yang punya. ah.. melebih-lebih betul. Kalau dah angau memang macam tu lah!

" Sibuk baca buku?" soalan bodoh! tapi aku gembira dengan soalan bodohnya itu. Sebenarnya aku rasa, aku lebih bodoh dengan perasaan aku yang berbunga-bunga dengan hanya soalan bodohnya itu.

" ya.. boring duduk baca di rumah.. baca di sini best sikit.. sambil baca boleh cuci mata" sahutku sambil malu-malu memandang ke matanya yang cantik. Aku mahu 'bawa' pulang mata menawan itu ke dalam mimpiku malam ini.

" okaylah.. aku pergi dulu.. selamat membaca!" ujarnya dan berlalu pergi membawa jantungku bersamanya.. cis!

sampai bila aku mahu simpan cinta sebelah tangan ini?

********

Dia lagi dan dengan gadis itu lagi. Dan lagi.. seperti selalu aku berharap.. ya.. berharap dia akan berpisah dengan gadis itu dan buka pintu untuk aku melangkah masuk ke dunianya. erm.. atau dia yang masuk ke dunia ku?

"tidak!"

Aku mengeleng-gelang. Mana mungkin dia yang kacak dan terkenal itu mahu masuk ke dalam dunia aku yang membosankan ini. Dunia ku hanya ada buku dan angan-angan.. dunia ku tertutup dan berlegar-legar di ruang yang sama setiap hari. Tidak ada yang menarik!!

Aku meraup muka dan berfikir betapa bodohnya aku!


********

2 tahun berlalu. Tiba-tiba aku terpandang dia lagi. Setelah sekian lama dia sambung belajar ke tempat lain. Dia berhenti di hadapanku dan tersenyum.

" Hai.." Matanya bersinar dan dia kelihatan gembira melihatku.

" Hai.."

" Kamu tidak banyak berubah..masih terlalu suka dengan buku.. masih 'bercinta' dengan buku.." Dia tergelak dan aku turut ketawa.

" Bercinta dengan buku?" Aku ulang kata-katanya sambil membenamkan rasa pedih. Aku cinta kamu tahu!!

" Aku pernah sukakan kamu tahu.." Kataku dengan berani. Kali ini aku sudah tidak kisah.. aku sudah lama terima hakikat yang dunia aku dan dia tidak boleh bersatu menjadi satu. Kami berbeza dan aku tidak perlu buang masa berangan-angan tentang dia- walaupun hingga kini aku masih hidup dengan angan-angan itu.

" Aku tahu.." Aku terlompong dengan jawapannya.

" Aku boleh baca mata kamu setiap kali melihat aku.. tapi sayang sekali antara aku dengan buku itu.. kamu selalu pilih buku berbanding aku" 

Aku tunduk memandang buku di tanganku.

" Aku juga pernah sukakan kamu.." ujarnya buat aku terlompong untuk kali kedua. Aku merenungnya. Melihat tanda-tanda jika dia sedang bergurau

" hah! Bagaimana?"

Dia ketawa.

" Tapi aku rasa aku tak mungkin dapat merampas kamu dari buku-buku itu.. Jadi...."

" Jadi..?"

" Jadi apa kata kamu beritahu aku buku apa yang kamu suka.. beritahu aku kenapa kamu sukakannya.. mungkin aku boleh cuba membaca dan memahaminya.. atau cuba menyukainya.. walaupun aku langsung tidak sukakan buku.."

Dia ketawa. Tapi aku tidak! Aku bingung.

"Maaf.. maafkan aku" Dia berhenti ketawa dan meminta maaf. 

" Tidak.. tidak perlu maaf..  kamu tidak perlu menyukai buku-buku ini.. aku tahu kamu tidak suka buku.." Dia terdiam dan merenungku dalam-dalam.

" Yah.. kamu betul. aku memang tidak sukakan buku-buku itu. Aku hanya suka kan kamu.. itu saja!"

hah?!! Dia tentunya bergurau dengan aku.

" Aku bukan bergurau!" seperti membaca fikiranku, dia bersuara memberikan jawapan. Aku terkejut!

" Kamu umpama 'buku' untuk aku.. aku 'baca' semuanya dari riaksi kamu.. aku baca berapa banyak kamu sukakan aku.. berapa banyak kamu cemburu.. berapa banyak kamu cuba membuang 'aku' dari fikiran kamu.. kamu memang 'buku' yang sangat menarik dan aku tidak boleh berhenti 'membaca' kamu...."

Aku pandang dia dengan muka sedikit marah.

" Aku baca buku.. tapi kamu 'baca' orang?"

Dia ketawa. Dia jungkit bahu.

" Kamu paling suka baca buku.. tapi aku paling suka 'baca' kamu.."

Aku tidak mampu menahan senyum. Ah.. kamu!! sebenarnya dia sedang melangkah masuk ke dunia ku? itu hanya kata-kata dalam hatiku.

" Ya.. begitulah!" jawabnya tanpa was-was dan tersenyum lebar.













Monday 15 December 2014

Somebody to you



Termenung kerana kamu. Ah... ini untuk kali yang entah ke berapa? Aku senyum sendiri. Teringat kata-kata kamu buat aku senyum sendiri.. Aku tak mampu menahan senyuman ini.

Aku benci. Tapi aku mula rindu.

Aku tercari-cari kamu.

Tiba-tiba kamu berhenti menyakiti hatiku. Tiba-tiba kamu jadi 'budak baik' dan berhenti menyakat ku. Aku hairan. Pelik. Itu bukan kamu.

Kamu tidak pernah bersopan santun dengan aku. Kamu suka kalau aku marah. Kamu ketawa berdekah-dekah bila aku meradang kerana kata-katamu. Kamu gembira bila aku kehabisan kata-kata untuk membalas ucapanmu. Kamu memang kejam dan selalu menang. Aku benci itu!!!

Aku rindu kamu... kamu yang 'jahat' itu.

Aku tak mahu ini. Aku tak mahu kamu yang ini... yang tiba-tiba lemah lembut dan berbahasa baik-baik dengan aku. Ada sesuatu yang tak kena dengan kamu. Tahu!

Tapi ya.. kenapa aku kisah?

"hey.. please stop it! bring back the 'old you' "

Aku tahu kamu sedang tersenyum menang! Argghhh

amnesia



'Delete' kamu dari 'RAM' ini. Biar kamu hilang.. biar kamu lenyap. Celaka besar bila aku buka pintu untuk kamu masuk ke dalam hidup aku. Manis yang kamu bawa itu memberi kesan racun yang sampai kini masih membisa menular ke dalam setiap sendi dan tulang temulang ku.

Gagal.. aku gagal untuk kali ini.

Kalah. Aku kalah dengan teruknya!

Ia pahit.. ia perit!

Aku cuba bangun seperti selalu. Ya.. selalunya aku mampu bangun dan melangkah lebih laju.

Sakit sungguh jatuh kali ini.

" I'll be okay.. I'll be Okay"

bisikku dengan bibir bergetar.Mengelap airmata.

Ah.... aku sanggup amnesia agar 'kamu' tidak 'muncul' dan menikam jantungku lagi.


Saturday 27 September 2014

Tapi Bagaimana..



Tak sengaja tersenyum saat teringat pada kamu,
ah.. kamu memang sangat manis dalam memori aku ya?
Sampai bila kamu mahu duduk di situ?
Sampai bila kamu mahu buat aku angau ingatkan kamu?

Jatuh cinta?
Mungkin..
Pada kamu?
mungkin..

Tapi bagaimana...?
pada kamu, aku hanya kawan..
pada aku kamu juga kawan..

Tapi bagaimana ya?
Dalam hati aku ini selalu berlegar-legar wajah kamu
Di bibir aku ini selalu ingin sebut nama kamu..

Manis-manis hal tentang kamu
mulai rasa pahit..
mulai rasa pedih..

kerna hati aku mula bunyi tidak menentu
kerna dada kian resah bila tidak jumpa kamu...

Rindu?
mungkin..
ah.. pastinya rindu!

Entah bila rindu ini akan habis
Entah bila gelora ini akan reda...

Bagaimana ya?



Tuesday 23 September 2014

Aku rindu 'dia'


lihat ke dalam cermin
lihat ke mata itu
menatapnya sunguh-sungguh
aku tidak kenali dia lagi
dia sudah berubah..

mungkin dia sudah hilang..
mungkin dia itu sudah pergi..

Jauh dalam hatiku
aku rindu dia..
dia yang selalu berkata-kata puitis
dia yang selalunya romantis
dia yang selalu ada untuk sesiapa saja..

aku mengeluh bila teringat akan dia..
Ingin tarik dia kembali kepermukaan,
andai dia tengelam.. di sana.. di dunia barunya
ingin kejutkan dia.. jika dia sedang bermimpi..
kerana mimpi indahnya itu..
mungkin akan buat dia terluka nantinya..
mungkin..

Ah.. mungkin semuanya harus begitu?
yang terindah hanya sementara..
Ya.. dia suka akan kata-kata itu..
sementara sajakah dia bersikap begitu?
atau saat indah tentang dia yang paling aku gemari itu
hanya sementara?

Dari dalam cermin dia pandang aku
dengan senyuman lembut
dan juga sayu.. aku kesan pandangannya juga berbaur rindu!

" Semuanya terpulang pada kamu, cari dirimu kau akan jumpa aku"

...........................

aku itu dia.. ternyata aku rindu pada 'aku' yang dulu..



Monday 1 September 2014

Hati

Kadang-kadang barang rosak bukan kerana ada orang rosakkan tapi disebabkan dah tiba masanya ia rosak.

Sama juga macam hati kita. Hati kita luka bukan kerana orang lain tapi kerana kita tak jaga hati sendiri.

Itu hati kita,bukan hati orang lain. Buat apa nak mengharapkan orang lain jaga.

Thursday 28 August 2014

Berkat

Hebatnya kejayaan kita kini, adalah kerana berkat ibu-bapa, yang tidak putus-putus, mendoakan kita usai solatnya dengan penuh istiqamah. Jangan lupa tu..?

Tuesday 26 August 2014

Friendzone



“Tengah fikir kau ni sebenarnya ada feeling kat kawan sendiri ke tidak.”

“Kenapa?”

“Kenapa kau asyik kecil hati dengan dia? Sebelum ni mana ada.”

Aku telan air iur.  Soalan itu aku biarkan saja sambil mata masih lagi pada FB

“See!” Farah bersuara lagi. “Kau stalk FB dia lagi. Kata nak move on.”

Aku mengeluh.

“Kau suka dia kan?”

“Tak!”

“Betul?” Farah soal lagi. Kali ini dengan senyuman.

Aku mencebik. Bahu dijungkit.

Apa kata kau luahkan pada dia?

Aku geleng.

“Kenapa?

“Aku tak nak hilang dia sebagai seorang kawan.”

“Dan biarkan kau kecewa?”

Aku jungkit bahu. Yang aku tahu, apa yang dah ditakdirkan jadi milik aku, ALLAH tak akan benarkan ia jadi milik orang lain.

-Tamat-



Wednesday 11 June 2014

Hidup

Satu angka atau dua angka yang kamu tinggalkan untuk maju ke hadapan, sedikitpun tidak buat aku sedih ditinggakan... 

Lihat kamu senyum dengan hadapan kamu, tumpang gembira itu aku... 

Sudah menjadi rutin hidup aku... Yang jatuh akan bertemu aku... 

Dan pabila kamu bangkit, nescaya berjalanlah semula kamu... 

Hey! Itu kehidupan okey... 

Insyaallah, suatu hari nanti, pabila habis satu pusingan hadapan kamu jelajahi, kita pasti akan bertemu... 

Bertemu dalam situasi canggung lagi kaku; dan salam serta senyum adalah pemula segalaNya...

Hidup kamu lain...
Hidup aku lain...
Yang buat kita berdua sama; 

DIA.

Monday 9 June 2014

#7

Tak percaya sebelum kena itu lumrah... 

Cuma bezanya... 

Jangan riak sebelum kena, dan jangan cabul setelah melaluinya... 

Lihat dan belajar cara-cara manusia yang pernah laluinya dan olah 'jalan cerita' mereka agar selesa di'badan' kamu dengan berlandaskan DIA... 

Insyaallah selamat dunia dan akhirat



Saturday 7 June 2014

Tempoh Hayat

'...tiap-tiap sesuatu dariNya ada tempoh hayat; maka telusurinya dengan baik... Dan aku bersyukur untuk ke semua yang mampir atau makin menjauh'



Tuesday 3 June 2014

Doa



Pernah 1 hari seorang anak kecil mahu sampaikan sayang pada Ibunya.

"Saya tidak tahu namanya," ucap anak kecil itu dalam tangisan.

"Tak apa. DIA tahu siapa yang kamu maksudkan," seorang budak lelaki katakan itu padanya.

"Jadi, boleh DIA bawa saya jumpa Ibu?"

Budak lelaki itu mengukirkan senyuman sambil tangannya mengusap kepala anak kecil itu dengan kasih sayang.

"Satu hari nanti DIA akan pertemukan kita semua.."





Sunday 1 June 2014

Hujung Jalan



Dulu masa aku jumpa kamu
Aku memang ada rasa dengan kamu
Tapi ...
Langkah aku masih jauh
Jalan aku masih panjang
Aku pasti akan jumpa..
Yang lainnya selain kamu..


Tapi hampir sampai ke hujung jalan yang panjang..
Aku masih ingat dengan kamu...
Rasa yang itu tidak ada yang sama..
Sepanjang jalan yang aku lalui..


Ya.. aku habiskan banyak waktu..
Menyusuri jalan yang panjang..
Mencari yang sebenarnya sudah aku jumpa..
Di langkah awal di hadapan kamu..


Aku tinggalkan bunga cantik
Di awal jalan...kerana yakin
Ada banyak lagi bunga cantik di hadapan..
Hingga ke hujung padang.. aku tidak menemui apa-apa..
Kecuali kekesalan..

Friday 9 May 2014

Always



sometime you want me
sometime you don't
baby,
maybe i don't need you

but..

i will always want you!

Thursday 24 April 2014

Dendam


Aku sudah lama menahan sakit hati dan dendam terhadapnya. Sudah bernanah dalam hati aku. Akhirnya sudah tiba masa untuk aku melampiaskan dendam dan sakit hatiku. Ketika suasana sunyi sepi, tanpa sesiapa pun menyedari dia sudah pun terjatuh dalam perangkapku. Menyedari senyuman menyeringaiku yang kelihatan cukup jahat dan mengerunkan, dia terketar-ketar ketakutan.
“aku sudah lama mahu buat begini dengan kau” Kataku sambil menarik rambutnya. Dia meringis kesakitan. Tapi tidak mampu menjerit kerana mulutnya sudah pun ku sumbat dengan kain. Rambutnya ku cabut serumpun-serumpun hingga airmatanya melelah macam tali air. Dia cuba meronta-ronta. Geram! Lalu aku layangkan penamparku ke pipinya bertalu-talu.. pipinya habis lebam aku kerjakan.
“ Oi….”
Tiba-tiba satu suara mengejutkanku. Aku tersentak dan hampir terlompat kerana terkejut. Siapa! Siapa yang sedang menyaksikan aku menyiksa makhluk yang ku benci ini?
“ Kok ye pun cabut bulu ayam tu.. tak payah lah nak tempeleng ayam yang dah kiok tu.. bilanya nak siap!” leter mak yang tiba-tiba menyergah entah dari mana.
Cis… baru nak feeling-feeling balas dendam! Aku tarik muncung panjang dan dengan muka geram mencekik leher ayam yang sudah longlai itu.
“ Eh.. di cekiknya pula ayam yang dah mati” Mak membulatkan biji mata. Aku tersengih kecut perut… kau lah punya pasal ni ayam!!

Sunday 13 April 2014

Aku, Kau Dan hujan



Bila hujan aku akan ingat kau
Kerna kau pernah kata padaku..
Kau suka melihat tangisan sang awan..
Kau kata tangisan awan itu rahmat dari Nya
Kau kata bunyi hujan atas atap..
Mengasyikan.. kalau tidur lebih terasa enak
Ah.. kau memang ada-ada saja.
Tapi kau tak tahu..
Bila hujan..
Hati aku rasa mahu hujan
Sebab titis tangisan awan dari langit
Gugur - banjir dalam hati aku..
Kerna hujan buat aku ingat..
Tentang kau..
Dan kau..
Yang 'jelma' dalam hujan
Hambat aku dengan rindu yang
Masih tak padam-padam

Wednesday 26 March 2014

Seruling Ajaib





Dua sahabat baik sedang praktis satu lagu.

"Pegang kertas itu elok-elok. Ini seruling sakti, boleh halau tikus-tikus kat pekan ni. Langkah kanan kita bila dapat sumber makanan yang banyak." Kata Spongebob pada Patrick yang sedang pegang nota muzik.



Sunday 23 March 2014

Diam


Aku diam
Bukan tidak lagi sayang kamu
Aku mengelak
Bukan kerana aku benci kamu
Sesungguhnya aku
Masih berharap yang ini tidak berlaku
Sebenarnya aku tak suka diam begini
Masih ingin bercanda denganmu seperti selalu..
Tapi kamu..
Bukan lagi yang ku kenal dulu
Langkah kakimu laju
Mengejar dia  yang tak pernah ada
Membuat aku terlalu terluka
Melihat kamu begitu.. argh!
Aku terlalu terluka sebenarnya..
Melihat kamu bukan kamu lagi..
Jadi biar aku terus diam lagi..
Hingga nanti aku kuat kembali..
Menghadapi kamu yang aku kasihi..
Dan merebut lagi dirimu.. yang semula.
“kawanku..”

Saturday 22 March 2014

Kamu


Warna kamu dari dulu ku lihat gelap
Malap.. pudar.. membingungkan
Anehnya.. aku merasa yakin..
Ada sesuatu tersembunyi..
Dalam suram itu.. pasti ada sesuatu!
Kamu dan warnamu..mengodaku!
Kemudian..
Dalam pudar aku lihat keindahan
Yang tersirat di sebalik warna-warna gelap yang kau hamparkan
Mengkagumkan sebenarnya..
kau saja yang tak mahu menghargai..
 kau lebih suka menebarkan warna duka..
hitam menyedihkan..
mengigit hatimu.. merobek jiwamu..
meneguk  jus dari luka yang kau toreh ke dadamu..
Hingga keindahan itu semakin sirna..
Bisa yang menghitam di hatimu..
Meracun diri.. mematikan ‘diri’mu.
Tanpa sedar aku teracun sama..
Mengelupar menahan derita..
Dan kamu tersenyum melihatku..
“Selamat datang ke dunia ku”

Wednesday 19 March 2014

Kenangan Manis





Satu hari aku katakan ini pada dia.

“Kita simpan saja kenangan manis. Jangan simpan kenangan pahit. Boleh?”

Dan dia anggukkan kepala dengan senyuman.

Saturday 8 March 2014

#6


'...demi masa...'

Sampai satu masa, pabila segala milikNya diambil daripadaku, rasaNya keupayaan untuk kekal berdiri(istiqamag) akan berlangsung.... baik-buruk dugaan yang pernah aku tempuh, kini sudah jelas tersusun seperti cantuman gambar...

Bersangka baik denganNya...

Dan aku sedar, jatuh-bangun aku yang kekal disisiku sebagai pedoman.

Sunday 2 March 2014

Sayang





Jika Tuhan masih sayangkan kamu,
DIA tak akan pernah biarkan kamu leka lagi.

Dan DIA datangkan ujian pada kamu.
Dalam bentuk kegembiraan dan kesedihan.

Wednesday 26 February 2014

#5



Riwayat tinta dan kertas...

'...usai siap senaskah cerita, tuan aku, mengeluh panjang, kayaknya seakan dia rajuk sama bangsanya yang nilai tiada takal buat bandingan... lama aku kira, di mana mahar-niatnya menulis dan berkarya semakin terbatas, layak? Ya, dia maharkan hasil karyanya hanya sama tuhan sahaja kini... menulis guna mata hatinya, dan kertas, mana hebat, jika langit sebagai bandingan... Aaarghhh, jika kamu tanya aku, ada cerita? Aku pakat sama kertas mohon doa biar berterbangan ilham datang, agar kami berdua, berfungsi hebat seperti dahulu; berkhidmat... hurm, ya.. itu angan dan impian aku, ya, aku hanya tinta, dan kami tiada fungsi untuk rawat hati tuan yang luka...'


Saturday 22 February 2014

#4


Ini pesan lalang buat padi...

'...sebuah motor, aku sedar ia bukan harta, seutas jam lusuh tali kulitnya juga tiada ke mana... namun, pernah bukan aku bercerita kepadamu tentang padi, ya, dari lumpur ia di'lahir-besar'kan.., seumpama ilmu yang tertitip buatmu, sedia dan ada... tunduk bukan erti kalah, malahan hormat, lembut bukan erti bacul, malahan qudus buat penawar zuhud... aargh... aku tahu, kamu tidak akan pernah faham, penanam padi dan pemilik serelung tanah; yang kedua-duanya sama lihat padi membesar dan meranum... siapa si kudrat... dan mana si iradatnya... kenal aku? Ya, ini pesananku buat kamu. Ya, kamu tahu pesan ini khusus buat kamu...'

Thursday 20 February 2014

#3




Ini bebelan semut buat gula

'...walau ke manapun pengakhiran destinasi kamu, aku pasti akan temu sama kamu..., seumpama cinta si adam buat si hawa, sekeras manapun, sekebal dan segah manapun titipan yang ada disampingmu, tidak akan sama tugasku mencari kamu... dalam balang, itu kebal sementaramu; andai jatuh dan hancur, aku tetap kutip kamu, tempatkan kamu di kediaman rahsiaku sebagai bekalan buat seluruh jemaahku. Kamu, janji sama aku, andai kamu tidak ku temu hingga bumi kiamat, aku mohon DIA sama dia, moga dapat jirani kamu, tumpang gembira dalam segenap segi; syukur'



 

Tuesday 18 February 2014

#2



'...siapa kita nak pertikaikan cara DIA beri rezeki... dan baguslah rezeki kamu tampak hebat keluar pagi balik petang, berbanding sebaliknya... namun si sebaliknya itu, tetap tidak goyang kaki... seumpama si surirumah yang mengambil upah menjahit si baju kurung... seumpama si pembuat kek yang tidak berkedai, atau juga di pembuat toys yang mencari rezeki tanpa meja dan kerusi, atau juga si penulis amatur yang mampu menghasilkan novel jenama sendiri, tanpa publisher gah.. atau juga di pengutip sampah, yang membersihkan tong-tong kotoran kamu saban waktu tanpa malu, halalkan?"

Halalkan?

Sunday 16 February 2014

#1




'...dari jauh aku datang untuk temu sama kamu... andai kalih mata terbabas pandang....aku mohon doa dari kamu-kamu-kamu dan kamu agar cuit(doa) jirimku moga jasad bisa di'pandu'...'

Kongklusinya fahamannya gini... 


'...andai kita lihat seseorang mahu berubah ke arah kebaikan yang tidak istiqamah... janganlah lekeh, janganlah 'gendang', cubalah doa senyap-senyap dalam hati untuknya... agar dia istiqamah biarpun sedikit... ada kalanya, tanpa kata, senyum memadai... buat penawar dia yang mahu jumpa DIA... 

bingung?... 

siapa kita untuk lihat silamnya, dan siapa kita untuk hukum masa hadapannya. 

Ya, terserah... aku sekadar penyampai cerita... buat kamu yang ditakdirkan membaca bingkisan ini... kamu tahu? DIA tidak akan datangkan apapun di hadapan kamu dengan sia-sia...


Saturday 15 February 2014

Buta





Katakanlah cinta itu buta

Bila masa hati aku ini buta sebab cinta aku untuk kamu
Membutakan rasa sakit yang aku alami sebab kamu

Ya cinta itu buta 
Dan menyakitkan.

Cinta untuk kamu.

Friday 14 February 2014

Jahanam


Dadaku berombak kencang, serasa mahu pecah.Tak sengaja melihat gadis kesayangan melentok manja di bahunya-sahabatku. Aku perlahan mendekat, memastikan yang aku tidak di tipu mataku sendiri.
Seperti terkena kejutan elektrik, mereka berdua bingkas dan menjauh bila menyedari aku. Ya.. Aku yang sedang terkaku. Cuba menahan nafas.. Cuma untuk berfikir.. Cuba untuk mencari jawapan.. Dan cuba untuk bangun.. Jika ini adalah mimpi.

"katakan aku hanya salah sangka.. Ini salah faham saja" kataku dengan nafas yang tersekat-sekat. Dengan gelora di dadaku bagai dibadai puting beliung.

Si gadisku menunduk dan mengeleng perlahan.

"aku akan jelaskan semuanya.." celah sahabatku yang jahanam itu.

"tidak!!!!!!"

Satu tumbukan hinggap ke mukanya. Ia bagai di hayun syaitan. Bertubi-tubi lagi datang kemudian. Aku sedikit pun tidak berdaya menahan tanganku sendiri. Dia cuba mengelak tetapi sedikit pun tidak membalas. Gadisku memekik meminta aku berhenti. Aku berpaling dan hampir saja melayangkan tanganku ke wajah si gadis kesayangan yang telah menjadi racun!

"jahanam.. Apa semua ini" bentak ku. Lelaki itu ku belasah lagi.

"aku bersalah.. Aku yang bersalah.. Lepaskan dia,.." rayu si gadis padaku. Seperti menuang garam
ke dalam luka ku. Rayuan itu membuktikan yang aku sudah pun kalah dengan teruk meskipun lelaki itu berjaya ku kalahkan dengan penumbuk ku. Aku berhenti dan menyuruhnya diam.

" sudah.. Aku tak mahu dengar apa-apa. Sudah jelas semuanya" aku pergi.


*************

Dari jauh aku lihat sepasang kekasih yang jahanam. Mantan kekasih.. Dan bekas sahabatku. Si dia ternyata kelihatan bahagia. Senyumnya lebar dan iklas. Aku menyumpah dalam hati. Tiba-tiba satu bisikan terdengar di kepalaku.

"lihat dia.. Pernahkah kau buat dia gembira seperti itu?" tanya bisikan itu.
"lebih dari itu.." Bentak ku membalas bisikan itu. Mendengus kasar.
"benar?" tanya bisikan itu lagi.

Aku ,mengeluh. Mungkin sekali dua aku pernah abaikan dia.. Sebab aku sibuk dengan persatuan dan kerja sambilan. Tapi aku tak pernah lupakan dia..

"benarkah begitu?" tanya bisikan itu lagi bernada sinis

"Tentulah!!"  marahku.

Dan kemudian bisikan itu kedengaran ketawa. Ketawa yang sungguh menyakiti hati. Menjengkelkan. Mencarik-carik isi dada.

"lihat..." ujar bisikan itu. Dan aku melihat ke dalam kotak rakaman dalam kepalaku. Ketika aku meminta sahabatku yang jahanam itu menyampaikan pesananku kepada si gadis, yang aku sibuk dan menyuruhnya memujuk gadis itu agar memaafkan aku kerana membatalkan temujanji. Aku melihat kembali... Aku hulur wang pada si jahanam itu untuk membeli kuntuman bunga buat si gadis itu.. Dan menyampaikan bunga itu untuknya sebagai tanda maaf kerana kesibukan ku... Satu persatu di ulang tayang lalu menunding kepada ku. Aku menahan nafas.. Mengeleng.. Menafikan.

"bagaimana?" tanya bisikan itu lagi.

Aku menghempus nafas yang ku tahan itu dengan kasar. Jahanam!

Jahanam. Jahanam.. Jahanam...

Akukah yang punya salah?









Wednesday 12 February 2014

'Sergah...'

'...ada sifulan, sergah aku di laluan pejalan kaki, di tangan aku kemas beg plastik; air milo dan kuih karipap jumbo sebiji... sifulan yang duduk di lantai tanpa alas, dengan comot memandang makanan tergenggam di jemari... tanpa dongak, aku lihat dia menelan air liur...'

Aku tersenyum...
Huuurmmm....
Aku terus hulur dan dia memandang ke arah mata dengan sayup hiba '...timer kasih nak...'

Aku beredar...
Di dalam LRT, sambil berdiri, aku renung langit; cerah dan panas.
'...semoga dipermudahkan segala urusan sifulan dengan penuh ehsanMu Ya Rabb...' - Nani Zuliana-

Monday 10 February 2014

Kita



Kadang kadang perbualan kita serius
Kadang-kadang perbualan kita hambar
Kadang-kadang perbualan kita bikin aku ketawa.
Walau mana satu perbualan aku dan kau

Semuanya menenangkan aku
Sepertimana saat aku bersama kau.
Terima kasih untuk momen itu. 



Saturday 8 February 2014

Menatap Bulan Bintang



Menatap bulan bintang
Pada malam yang tenang
Berteman gigitan penghisap darah
Sang nyamuk yang kelaparan
Sama lapar seperti perutnya.....

Mengunyah tangisan
Yang tersisa untuk ditelan
Sehabis menjamu siang yang menyakitkan
Tawa yang tertikam
Memikul keperitan dalam kenyataan
Yang berarus duniawi nan kejam..
Menongkah-nya dengan paksa
Tak mampu putus asa..

Menatap bulan bintang
Berharap mimpi indah jelma
Lalu menghangatkan dingin malam
Yang menusuk ke temulang
Berselimut hamis yang memualkan
Tidak pernah menerbitkan resah

Terbuang atau dibuang..
Bukan lagi satu soalan..
Kasih sayang bukan lagi impian
Yang tertinggal kini..
Adalah perjuangan.. Bukan pilihan.