Sunday 24 November 2013

NARAKA?




Dari jauh dia mendengar bunyi derap langkah yang kasar. Terasa lantai bergegar setiap kali tapak kaki pemilik langkah itu datang seakan-akan menjadikan ketakutannya semakin mencengkam. Dia mula menangis ketakutan sekali pun gerangan itu belum pun muncul di depannya.
“ Masa rehat sudah habis.. jadi sekarang kau kena terima habuanmu..” Lembaga hitam yang sangat mengerunkan itu mengeluarkan rantai berduri yang tajam runcing. Sedikit masa lagi rantai berduri itu akan meratah tubuhnya seperti selalu dan dia akan menjerit derita. Tubuhnya sudah penuh calar hasil deraan lelaki itu. Tapi tidak pernah sehari pun lelaki itu bosan untuk datang mengerjakan tubuhnya. Semua sesal sudah tidak berguna lagi bak kata orang di dunia. Nasi sudah menjadi bubur. Dia akan terus menderita dan sengsara. Pekik dan jeritannya tidak berguna kerana lelaki di depannya itu tidak akan berbelas simpati. Dan seperti selalunya sekali lagi tubuhnya menerima ‘habuan’. Jeritan demi jeritan tidak sedikit pun meringankan penderitaan. Rantai berduri itu disebat bertalu-talu ke tubuhnya. Seluruh tubuhnya berdarah hingga lantai basah oleh titisan darahnya. Kesakitan akibat sebatan itu tembus sampai ke tulang temulangnya.
“Tolong!! Tolong!!!” Laungnya sekuat hati. Namun tiada siapa mendengar dan tak ada siapa pun peduli. Tak ada gunanya. Dia ingin sekali mati untuk menamatkan penderitaan itu. Malangnya dia memang sudah mati kerana dia sedang berada di dalam kubur sempitnya menunggu kiamat tiba. Sebelum tiba hari itu dia akan terus tersiksa! Terus menerima kunjungan para penurut perintah yang sedia meratah tubuhnya dengan rantai berduri itu. Hukuman yang terpaksa di laluinya di alam ini.. adakah ini barzakh?
“ Selagi tidak ada kiriman buat kamu.. jangan harap aku akan berhenti.. mujur saja ada doa-doa manusia di atas bumi yang membolehkan kau berehat 5 kali dalam sehari.. kalau tidak tunggu sajalah kiriman cinta dari anakmu yang sudah lupakan kamu itu..” Katanya dengan wajah bengis sambil tangannya terus menghayun sebatan demi sebatan. Pekikan dan lolongan masih berterusan.
“ Jaiti.. tolong mak sayang.. Jaiti.. tolong mak…”
Dia terkejut. Dadanya berombak-ombak. Peluh menitik di dahinya. Jaiti pandang wajah tenang ibunya yang masih koma. Betapa belas hatinya bila teringat mimpi itu tadi. Tubuh ibunya di bantai tanpa belas. Tangisnya pecah. Dia terhinjut-hinjut menahan esakan. Jaiti terpana seketika bila bahunya di sentuh seseorang. Dia berpaling. Cepat-cepat mengesat airmata.
“ kenapa nak?” Tanya seorang tua.
“ Saya bermimpi.. dasyat sekali!” jawab Jaiti sambil mengengam tangan ibunya dengan kasih sayang. Tak sanggup rasanya mengingatkan mimpi itu.
“ Berdoalah nak.. teruskan berbisik dua kalimah syahadah ke telinga ibumu.. baca lah apa surah yang kamu tahu.. jangan lupa. Doa anak yang solehah akan menyelamatkan ibu bapanya di alam barzark..” dan lelaki tua itu berlalu.
“ Tapi pakcik..” Jaiti terhenti. Lelaki berbaju putih itu lenyap begitu cepat.
“ Cik.. mana perginya pakcik tadi tu..?” tanya Jaiti pada jururawat yang dari tadi di katil sebelah memeriksa pesakit. Jururawat itu memandangnya dengan wajah pelik.
“ Pakcik yang mana pula? Dari tadi adik ni cakap sorang-sorang..ingatkan mengigau tadi,  naik meremang bulu roma akak! Hospital memang macam ni.. macam-macam ada..  sudahlah tu! Baik adik pergi basuh muka dan minum kopi.. adik mengantuk agaknya..” Jururawat itu berlalu membiarkan Jaiti terpingah-pingah.
“ Ya Allah ya tuhanku.. aku mohon padaMu.. ampunkanlah dosa-dosa ibuku.. berilah belas kasihMu padanya ya Allah.. Aku mohon ya Allah..!” Airmatanya gugur berlinangan lagi. Teringat kata-kata orang tua tadi. Hanya doa saja yang dia ada sebagai senjata buat masa ini. Dia segera mencapai surah yassin dan membaca perlahan. Ketika kusyuk membaca terasa gengaman tangannya dibalas. Jaiti tersentak lalu melihat ke wajah ibunya. Perlahan-lahan mata ibunya terbuka.
“ Jaiti..Jaiti.. terima kasih nak..” kata ibunya dengan nada tersekat-sekat. Bibir ibunya bergetar.
“ Ya.. mak.. Jaiti di sini.. mak.. syukur alhamdulilah.. mak dah sedar.. dah  hampir seminggu mak koma.. alhamdulilah ya Allah!” kata Jaiti gembira dengan berlinangan airmata. Mahu saja di terkamnya si ibu tetapi terpaksa ditahannya gembira di hati kerana ibunya baru saja sedarkan diri, masih tak kuat lagi.
“ Alhamdulilah nak.. ini semua berkat doa kau Jaiti.. kau yang selamatkan mak..” kata-kata ibunya buat Jaiti keliru. Ibunya tersenyum nipis.
“ Apa maksud mak?” tanyanya inginkan kepastian. Tangan ibunya di ambil dan di kecup perlahan. Dia tak pernah lupa tangan itulah yang selalu menepuk punggungnya sambil berdodoi hingga dia terlena waktu kecil dulu. Tangan ibu yang dikasihinya itulah yang menyuapkan nasi ke mulutnya!
“ Jaiti.. Mak bermimpi..  sedang disiksa dengan rantai berduri oleh makhluk yang sungguh menakutkan.. Ia kata namanya Mungkar. Mungkinkah malaikat Mungkar.. Dan makhluk itu berhenti membelasah mak sebaik saja bergema suara Jaiti di langit.. memohon di ampunkan dosa-dosa mak… dan kemudiannya mak berada di padang yang sungguh luas tetapi penuh kabus.. Mak tak dapat lihat apa-apa kecuali terdengar bacaan surah yasin, Mak terus kejar suara bacaan surah yassin itu lalu bila kabus itu lenyap mak nampak Jaiti ada di depan mak.. sedang membaca surah yassin.. terima kasih Jaiti..” Ibunya mengalirkan airmata. Bersyukur kerana masih ada peluang kedua.
“ Benarkah mak..?” Ibunya mengangguk.
“Jaiti.. sebelum mak dilepaskan oleh makhluk itu.. ia telah memberitahu mak.. mak disiksa kerana adikmu Suhana..  Mak tak didik Suhana dengan baik. Mak tak cukup tegas dengan dia. Sebab tu Suhana mudah rosak.. Mak mudah putus asa menasihati Suhana.Kini Suhana asyik buat dosa, sebab itulah mak telah disiksa, jadi sayang.. kalau boleh... kita cari Suhana. Kita pimpin dia ke jalan yang benar.. mak nak mohon ampun maaf dengan Suhana.. mak pernah halau dia sebab tak restu hubungan dia dengan suami orang  tu..  kita cari Suhana ya nak.. benar syurga anak terletak di telapak kaki bonda.. tapi neraka ibu juga ada di tangan anak-anak.. ibu kesal dengan apa yang pernah berlaku Jaiti.. ibu mohon maaf sangat-sangat..”  kedengaran esakan si Ibu, Jaiti mengangguk perlahan. Si ibu dipeluknya erat.
“ Baik mak.. kita akan cari Suhana.. kita akan cari dia sampai dapat. Insyallah mak.. kita akan bawa balik Suhana.. Nanti kita ajak dia kumpul sama-sama macam dulu!” Mereka tidak sedar di belakang pintu tidak jauh dari situ Suhana sedang menahan ombak di dada. Dia terdengar semua perbualan ibunya dan kakaknya Jaiti. Dia dengar dengan jelas setiap patah perkataan dari mulut mereka berdua. Dia bencikan ibunya selama ini. Ibunya adalah punca hidupnya musnah. Kerana Ibunya, dia terlepas cinta sejati. Dia kesal kenapa ibunya tidak terima saja keputusannya untuk jadi isteri kedua. Kerana tentangan ibunya membuat kekasih hatinya kembali pada isteri pertama. Dia benci Ibu.Tapi entah kenapa dia datang juga ke hospital itu untuk melihat ibunya. Pada mulanya dia teringin memuntahkan kata-kata benci dan amarahnya kepada ibunya yang koma itu. Dia ingin memaki hamun ibunya. Memang itu niatnya. Dendam di hatinya, pada ibu telah menyala sekian lama. Namun setelah tercuri dengar akan perbualan ibunya dengan kakaknya tadi, nyalaan dendamnya padam serta merta. Bagaikan magik! Dia segera menyentuh perutnya. Mengusap perlahan. Hatinya sayu. Dia teringat akan bayi luar nikahnya yang telah  dijual kepada pasangan kaya raya. Pasti anak itu tidak akan menyelamatkannya dari api neraka kelak.. Airmatanya gugur lagi. Tapi kali ini ia adalah aimata keinsafan.  Dia mengesat airmata. Teringat kata-kata lelaki tua berjanggut putih yang menyapanya ketika mula-mula datang ke hospital itu tadi.
“Anak.. anak ni nama Suhana kan.. Ibu kamu perlukan kamu sekarang. Pakcik tahu kamu bersengketa dengan ibu kamu.. tapi ingat ya nak.. tak mencium bau syurga jika kamu derhaka pada ibu kamu.. pergilah jumpa ibu kamu nak..” Suhana merasa pelik dengan kata-kata lelaki tua itu. Kenapa secara tiba-tiba? Dia mengaru kepalanya kerana bingung.
“ Pakcik ni siapa sebenarnya?” tanya Suhana tetapi pakcik itu sudah ghaib entah ke mana. Ketika itu Suhana tidak pasti adakah lelaki tua berjanggut putih dan berjubah putih itu adalah manusia ataupun hanyalah khayalannya saja. Halusnasi semata.  Tapi kini Suhana yakin.. dia diberi peluang kedua setelah mendengar perbualan ibunya dan kakaknya Jaiti. Dia menarik nafas panjang dan perlahan-lahan memberanikan diri melangkah ke muka pintu, menghadapi kedua orang insan yang sebenarnya menyayanginya.
“ Mak.. Suhana datang mak..”katanya dengan suara serak dan bergetar! Kedua wanita di depannya menoleh hampir serentak. Suhana dengan bibir bergetar berdiri tidak jauh dari situ.
“ AllahhuAkbar…!” Bisik Jaiti spontan.


Nota Penting: cerita adalah rekaan semata-mata.
p/s : cerpen ini berasal dari SINI
 

1 comment:

  1. Oh... aku tak tahu kenapa aku nangis baca ini. :(

    Rindu seseorang bila baca ini. Al-Fatihah.

    ReplyDelete