“Masih cintakan aku?” Aku soal padanya.
“Kau rasa?” Dia jawab soalan aku dengan soalan. Dan aku cuma
senyum tawar sahaja.
“Aku rasa ya.”
“Bagaimana kau pasti?”
“Aku ikut gerak hati.” Aku lihat dia ukirkan senyuman sinis
tatkala mendengar jawapan aku yang ini.
“Pernah lihat hati aku ketika itu?”
Aku menelan air liur. Tidak tahu sama ada patut dinafikan
atau diiyakan sahaja.
“Jika kau tak lihat hati aku yang kau lukakan itu, tidak
perlu berlagak seolah kau tahu semuanya.”
Aku dapat kesan nada marah dalam ayatnya itu. Aku pandang
wajahnya, memandang tepat ke arah anak matanya yang berwarna coklat itu, tapi
dia alihkan wajahnya dari aku. Dia memalingkan tubuhnya sebelum melangkah
pergi.
“Jikalau aku katakan YA? Ya, aku lihat hati kau yang aku
lukakan itu.” Aku lihat langkahnya terhenti sebelum dia kembali memandang ke
arah aku.
“Kalau…” Dia ukirkan senyuman sinis. “Tapi kita berdua tahu,
kau tak lakukan itu.”
“Tapi, aku dapat rasakan, bukan melihat.”
Sekali lagi dia ukirkan senyuman sinis. Senyuman yang penuh
dengan rasa benci.
“Kau tak tahu apa-apa tentang aku.”
“Tapi aku tahu kau terluka sebab aku.” Aku lihat dia mahu
mengankat tangannya, mahu menampar aku, tapi dia tak lakukan itu. Dia jatuhkan
tangannya kembali dengan senyuman sinis dilontarkan pada aku sekali lagi.
“Jika sakiti aku mampu buat kau tenang, lakukan saja,” Aku
katakan itu pada dia. Air matanya mula jatuh. Dia pandang aku sebelum mengesat
air matanya. Dan dia kembali memalingkan tubuhnya, melangkah pergi.
“Biarkan aku rawat
hati kau yang aku lukakan itu,” aku bersuara sekali lagi. Sekali lagi
langkahnya terhenti sebelum dia memalingkan tubuhnya ke arah aku.
“Begini sajalah, kalau kau mahu rawat hati aku yang kau
lukakan itu, minta saja pada DIA. Sebab aku sudah serahkan hati aku yang kau
lukakan tu pada DIA. Tapi tentunya DIA tak akan bagi,” ujarnya dengan sinis sebelum
melangkah pergi. Dan aku hanya mampu mengeluh melihat pemergiannya.
Dan tiba-tiba sahaja, hati aku sakit. Yang teramat! Dan saat
itu juga, aku tertanya-tanya adakah ini balasan dari DIA sebab menyakiti hati dia?
Dan saat itulah aku juga tahu, dia masih cinta pada aku. Cinta yang telah buat dia
sakit.