Sunday 14 July 2013

Cinta Itu Buta



Gadis itu comot. Tapi tetap comel. Dengan mata bulat bersinar macam mata kartun animasi jepun. Rambutnya perang ikal tapi basah kuyup. Mata yang menawan itu bersinar-sinar merenungnya. Renungan yang mengkagumkan. Memukau. Asrul terpana sepertinya dijampi.

“ Siapa namamu?” tanyanya sedikit tergagap akibat bius gadis itu.

“Mutiara” gemersik suara si comot yang comel.

“ Mutiara?” ulang Asrul dengan nada teruja. Unik nama tu di telinga Asrul. Seunik pemiliknya.

Angguk.

“ kamu memang mutiara yang bersinar..” keluh Asrul perlahan. Gadis comot yang comel itu tersenyum. Asrul menumbuk dadanya supaya senyap. Bunyi dup dap yang bising itu hampir membuat jantungnya pecah.

“ ah… ya. Saya Asrul. Nelayan. Ini bot saya.. kamu buat apa di sini?” tanya Asrul. Bukan marah jauh sekali menghalau. Cuma ingin tahu. Gadis itu bertenggek di atas botnya sambil merendam kakinya ke dalam dingin air laut yang menusuk ke tulang.

“ Saya lari dari rumah..”

“Hah?!” Asrul tersentak.

“ Tapi kenapa..?” tanya Asrul masih berusaha menahan rasa terkejutnya.

“ Kerana cinta..” Kata Mutiara dengan nada sayu. Matanya bergenang mutiara jernih yang hangat bergelar airmata.

“ Lari dengan kekasih? Di mana dia..?” Mahu saja Asrul marah pada sang kekasih itu. Mensia-siakan gadis yang di depannya ini, gadis yang membuat jantungnya berlari laju tanpa perlu berlari laju. Mutiara mengeleng. Asrul bingung.

“ Cintaku terhalang…  kerana kami dari dunia yang berbeza” perih nadanya. Asrul rasa dadanya turut terasa ngilu mendengar keperihan itu.

“ Jadi apa rancanganmu..” Tanya Asrul ingin tahu. Mutiara angkat bahu. Melirik ke arah Asrul sekilas dengan mata menawannya. Sekali lagi Asrul merasa jantungnya meronta sepertinya tidak cukup udara. Mahu saja diculiknya gadis comel itu lalu dibawa pulang untuk dibuat isteri. Tapi dia bukan serakah orangnya. Mana mungkin gadis comel itu layak diperlakukan sebegitu olehnya.

“Kalau kamu mahu.. kamu boleh menumpang di rumah saya” Tawar Asrul sopan.

“ ah?! Benar..?” Tanya Mutiara terharu.

“ Benar.. kau boleh tinggal di rumah saya selama mana yang kau mahu hingga kau ada rancangan lain untuk hidupmu nanti..” Kata Asrul lagi. Tanpa berfikir panjang.

“ Kau sungguh baik..” Puji Mutiara dengan sinar mata yang terharu.

“ Ah.. saya iklas membantu..” Jelas Asrul gembira kerana Mutiara sepertinya mahu menerima tawarannya.

“ Tapi.. saya ada satu masalah lagi..” Kata Mutiara membuat Asrul berkerut.

“ Masalah…?”

Angguk.

“ Apa dia?” Mutiara tidak menyahut tapi menghulurkan tangan cantiknya ke arah Asrul. Asrul mendekat. Mencapai huluran tangan Mutiara. Tangan itu sejuk seperti ais batu.

“ Lihat sini…” Mutiara menunjuk ke arah kakinya yang berendam di dalam air. Mulut Asrul terlompong. Dia mengosok matanya berkali-kali. Mimpikah ini? Ia berkilau-kilau dan cantik. Meliuk-liuk mengikut pukulan ombak yang lembut. Menawan.

“Mutiara.. Kau..kau.. Duyung!?” tergagap Asrul bersuara. Mutiara tidak menyahut. Hanya melibas-libaskan ekornya hingga air laut memercik ke permukaan. Membasahi wajah Asrul. Cukup sebagai bukti itu bukannya mimpi. Asrul masih cuba menafsirkan realiti dengan fantasi. Tapi mata mengoda Mutiara terus meragut semua kecelaruan yang hampir membuatnya gila. Dia sanggup gila untuk Mutiara. Apa salahnya.

“ Boleh aku jadi isterimu..?” Tanya Mutiara. Umpama bulan jatuh ke riba. Asrul mengangguk laju.

“ Kau tak kisah..?” Tanya Mutiara lagi. Asrul mengangguk.

“ Kenapa?” Tanya Mutiara ingin tahu.

“ mungkin kerana cinta itu buta..”

 

 

P/S : Dulu ia bertajuk MUTIARA

3 comments:

  1. Cinta bukan buta. Hanya orang yang sedang mengalami perasaan cinta itu yang menjadi buta.

    ReplyDelete
  2. Bestnyaa... Terpukau aku bca.... Genre fantasy.. Aku x sangka ia citer ikan duyung. Weeeeee


    Bidadari syurga

    ReplyDelete