Tuesday 2 July 2013

Abang




Kenapa mesti Mama selalu sayang abang lebih? Kenapa dia? Adik ni bukan anak Mama dan Papa juga ke?” Aku pernah ingat soalan yang aku lontarkan pada Mama. Dan jawapan Mama…

Adik… abang kan sakit.”

 Itu je jawapan Mama. Aku lihat abang bukannya sakit pun. Boleh saja berjalan dan keluar dengan kawan-kawannya. Cis! Ini tidak adil. Sehari suntuk aku merajuk sebab Mama tak mahu belikan aiskrim perisa coklat kegemaran aku ketika itu. Mama belikan aiskrim perisa Vanilla kesukaan abang. Mama memang pilih kasih! Tapi selepas itu, abang akan belikan aiskrim perisa coklat kegemaran aku dan kami baik seperti biasa.

Abang dengan aku tak ada beza umur. Cuma beza beberapa minit saja. Dia abang sebab dia keluar dulu dari aku. Yaa… kami kembar, tapi kembar berlawanan jantina. Dan tentunya berbeza perangai. Ketika kami masih kecil, orang akan beri perhatian yang lebih pada abang. Orang selalu bandingkan aku dengan abang. Abang itulah, abang inilah. Sampai aku naik muak dan menyampah dengan abang. Tapi abang tetap sayang aku dan tak pernah membenci aku sebagaimana aku pernah membenci dia.

Bila aku keluar dengan abang, abang akan pegang tangan aku. Abang selalu temankan aku ke mana saja aku pergi walau aku tidak minta. Walaupun ketika itu kami sudah berusia belasan tahun. Dan orang akan ingat aku adalah kekasih abang padahal kami adalah adik beradik. Dan mulalah orang akan bercakap perbezaan ketidak-cantikan aku dengan kekacakan abang.

Yaaa… abang kacak dan sopan santun. Itu pujian yang selalu orang berikan pada abang. Mana-mana abang pergi, akan ada gadis yang pandang abang sampai tak berkelip mata. Kacak sangatkah abang? Bagi aku biasa sahaja kecuali abang itu terlampau caring. Dan itu menjengkelkan aku. Aku tak suka dengan perhatian yang abang berikan pada aku. Aku tak suka dengan perhatian yang orang berikan pada abang. Dalam erti kata lain, aku tak suka abang.

 “Janganlah pegang tangan adik!” Aku pernah tepis tangan dia masa dia mahu pegang tangan aku. Dan dia balas, “Adik kan comel. Abang takut ada orang akan culik adik dari abang.”  Dan kemudian aku balas, “Pergi matilah!

Aku tak sedar jawapan aku yang itu telah buat abang terluka. Memang la aku tak sedar, sebab sejurus aku ucap ayat itu, terus aku tinggalkan abang terkontang kanting di pusat membeli belah seorang diri. Aku pulang dengan teksi. Padan muka dia!

Bila abang tak turun makan malam hari itu, Mama membawa masuk makanan ke bilik abang. Aku? Mama suruh aku pada permulaannya, tapi aku enggan. Malas! Dan dari situ Mama tahu aku telah katakan sesuatu yang buat abang terluka. Pada mulanya, aku ingat abang telah memburukkan aku dihadapan Mama, rupanya tak. Katanya Mama, tak ada orang yang boleh buat abang terluka melainkan aku. Nampaknya Mama tahu setiap perangai anaknya. Tapi aku masih tak suka abang.

Bila aku dah matang, baru aku sedar hal sebenar. Bila Mama cakap abang sakit, abang benar-benar sakit. Aku ingatkan sebab Mama sayangkan abang lebih, jadi Mama gunakan alasan itu untuk aku mengalah dengan abang. Aku pernah lihat abang dimasukkan hospital tiba-tiba. Rupaya hidup abang singkat. Lagi singkat dari aku sebab penyakit yang dialami abang. Rasa macam tak adil sebab aku dan dia kembar tapi dia yang akan ‘pergi’ dulu dari aku. Dari situ, aku mula sayang abang, mula bertolak ansur dengan abang.

Aku tak tahu apa penyakit abang yang sebenar, sebab abang banyak berahsia dengan aku. Bila aku tanya, dia cuma minta aku jangan risaukan dia. Ah… kata kembar, tapi berahsia antara satu sama lain. Itu yang kadangkala aku berkecil hati dengan dia. Tapi aku tak tunjuk depan dia, tapi abang seolah-olah tahu yang aku sedang berkecil hati dengan dia, terus dia akan belikan aiskrim coklat kegemaran aku. Mungkin sebab kami kembar, itu yang buat abang faham aku. Tapi aku tak pernah tahu apa yang abang fikirkan, kecuali, bila aku tiba-tiba sakit tanpa sebab walau sementara, ketika itulah aku tahu abang sedang menahan sakit dari penyakit yang dia alami.

Dah tiga tahun abang pergi menghadap DIA, tapi aku tak pernah rasa kehilangan dia. Kadang-kadang bila hari hujan, aku akan hulurkan tangan aku ke dalam hujan ibarat abang pegang tangan aku ketika kami keluar. Dan ada ketika abang akan muncul dalam mimpi aku dan kami akan berbual ibarat tiada apa-apa yang berlaku. Seperti masa dulu, cuma yang bezanya, dia sudah menjadi ‘penduduk’ di dunia sebelah sana. Dan aku akan menyusurinya satu hari nanti, dia katakan itu pada aku. 





2 comments:

  1. Bs.. aku juga.

    Macam mana pun darah daging kita memang sangat penting.. tak kira sebesar mana kita pernah bertelingkah

    ReplyDelete