“Ibu, boleh benarkan aku ikut
kamu?”
“Belum tiba masanya lagi, sayang.”
Diusap kepala anak kecil itu.
“Tapi aku dah tak sanggup untuk
hidup sebegini.” Air mata anak kecil itu jatuh lagi.
“Sayang… sabar sahaja yang ibu
mampu katakan pada kamu. Perjalanan kamu masih jauh. Dan apa yang kamu alami
ini hanyalah sementara sahaja. Yakin dengan ketentuan DIA.” Dikesat air mata
anak kecil itu sebelum memimpinnya ke satu pintu.
Pintu itu dibuka. Anak kecil itu
hanya memandang kosong apa yang ada di sebalik pintu. Dipandangnya wajah
ibunya. Wanita itu hanya tersenyum memandangnya.
“Pergi sayang… tempat kamu di
situ. Itu dunia kamu.”
Anak kecil itu menggelengkan kepala.
Dipegang erat tangan ibunya.
“Sayang…” Dipujuk anak kecilnya.
Diusap lagi kepala anak kecil itu.
“Ibu tak akan tinggalkan aku
bukan?” Anak kecil itu melihat ibunya menggelengkan kepala sambil mengukirkan
senyuman.
“Ibu akan selalu berada di sini.”
Tangannya diletakkan di dada anak kecil itu.
“Adik… mari kita pergi,”kedengaran
suara seorang lelaki. Anak kecil itu memandang kedua-dua lelaki dan wanita di
hadapannya silih berganti. Lelaki itu menghulurkan tangan padanya.
“Pergi sayang. Ikut Abang. Dia
akan bawa kamu ke dunia kamu.”
Anak kecil itu memandang abangnya
yang masih dengan huluran tangannya dan ibunya yang masih tersenyum. Akhirnya dia menyambut huluran tangan
abangnya.
“Jaga diri baik-baik sayang. Ibu
sayang kamu.” Diusap sekali lagi kepala anak kecil itu sebelum mengucup
dahinya.
Dan dalam perjalanan menuju ke
pintu satu lagi….
“KEnapa adik tak boleh tinggal
bersama ibu?” Anak kecil itu hanya melihat abangnya mengukirkan senyuman.
“Sebab belum tiba masanya lagi.”
“Dan biarkan adik seorang diri di
dunia itu?”
“Adik tak pernah keseorangan.
Abang selalu ada. Selalu jaga adik dari jauh. Dan DIA selalu ada untuk adik.
Jangan pernah ingat adik keseorangan di dunia itu.”
“Tapi abang tak selalu ada…” Anak
kecil itu memandang ke bawah. Air matanya mahu jatuh lagi tapi abangnya sempat
mengesat air matanya sambil mengukirkan senyuman.
“Abang tak boleh selalu
memunculkan diri untuk adik. Dunia kita berbeza. Apa yang abang buat ini untuk
kebaikan adik. Abang mahu adik jenguk dunia adik, punya kawan ramai…”
“Tapi mereka lukakan hati adik…”
Anak kecil itu hanya melihat abangnya mengukirkan senyuman sekali lagi.
“Tapi adik kuat bukan? Dari saat
ibu dibawa pergi dari adik, abang tahu adik kuat. Adik cukup kuat untuk hadapi
ujian yang DIA berikan pada adik.”
“Tapi…” Anak kecil itu mahu berkata lagi tapi
belum sempat dia berbuat sedemikian, abangnya telah memotong.
“Yakin dan percaya dengan
ketentuan DIA. DIA tahu apa yang terbaik untuk adik. Percayalah, kesakitan yang
adik alami itu hanya sementara sahaja.”
Anak kecil itu hanya mampu
menganggukkan kepalanya.
“Adik kena kuat. Kena banyak
bersabar. Setiap ujian yang DIA turunkan pada adik, ada hikmahnya. Jangan
pernah lupa DIA. Itu saja yang penting.”
Anak kecil itu menganggukkan
kepala sekali lagi.
“Kita dah sampai…” Anak kecil itu
memandang pemandangan yang ada di sebalik pintu kedua. Dunia dia. Dia sudah
tiba di dunianya.
“Ini dunia adik. Pergilah. Jangan
risau. Abang akan selalu ada untuk adik. Adik tahu bukan bagaimana mahu
berbicara dengan abang bukan?”
Anak kecil itu hanya
menganggukkan kepala. Tangan abangnya dilepaskan sebelum kakinya melangkah
masuk ke dunianya. Dia menghayunkan kakinya tanpa mengetahui ke mana sebenarnya
dia akan tuju. Sehinggalah dia memasuki lorong yang bercahaya itu….
Matanya terbuka. Pipinya basah.
Ah… dia hanya bermimpi rupanya.
Habis!
Oh my gat...
ReplyDeleteIni penuh dgn jiwa...
hurmmmm... tak susahkan bila becerita guna hati... aku dh nmpk kau tenang sekarang.
ReplyDeleteps: aku terkhayal baca... hebat
BS