“Kenapa mesti Mama selalu sayang abang lebih? Kenapa dia? Adik ni bukan
anak Mama dan Papa juga ke?” Aku pernah ingat soalan yang aku lontarkan
pada Mama. Dan jawapan Mama…
“Adik… abang kan sakit.”
Itu je jawapan Mama. Aku lihat abang bukannya
sakit pun. Boleh saja berjalan dan keluar dengan kawan-kawannya. Cis! Ini tidak
adil. Sehari suntuk aku merajuk sebab Mama tak mahu belikan aiskrim perisa
coklat kegemaran aku ketika itu. Mama belikan aiskrim perisa Vanilla kesukaan
abang. Mama memang pilih kasih! Tapi selepas itu, abang akan belikan aiskrim
perisa coklat kegemaran aku dan kami baik seperti biasa.
Abang dengan aku tak ada beza
umur. Cuma beza beberapa minit saja. Dia abang sebab dia keluar dulu dari aku.
Yaa… kami kembar, tapi kembar berlawanan jantina. Dan tentunya berbeza
perangai. Ketika kami masih kecil, orang akan beri perhatian yang lebih pada
abang. Orang selalu bandingkan aku dengan abang. Abang itulah, abang inilah.
Sampai aku naik muak dan menyampah dengan abang. Tapi abang tetap sayang aku dan
tak pernah membenci aku sebagaimana aku pernah membenci dia.
Bila aku keluar dengan abang,
abang akan pegang tangan aku. Abang selalu temankan aku ke mana saja aku pergi
walau aku tidak minta. Walaupun ketika itu kami sudah berusia belasan tahun.
Dan orang akan ingat aku adalah kekasih abang padahal kami adalah adik beradik.
Dan mulalah orang akan bercakap perbezaan ketidak-cantikan aku dengan kekacakan
abang.
Yaaa… abang kacak dan sopan
santun. Itu pujian yang selalu orang berikan pada abang. Mana-mana abang pergi,
akan ada gadis yang pandang abang sampai tak berkelip mata. Kacak sangatkah
abang? Bagi aku biasa sahaja kecuali abang itu terlampau caring. Dan itu menjengkelkan aku. Aku tak suka dengan perhatian
yang abang berikan pada aku. Aku tak suka dengan perhatian yang orang berikan
pada abang. Dalam erti kata lain, aku tak suka abang.
“Janganlah
pegang tangan adik!” Aku pernah tepis tangan dia masa dia mahu pegang
tangan aku. Dan dia balas, “Adik kan
comel. Abang takut ada orang akan culik adik dari abang.” Dan kemudian aku balas, “Pergi matilah!”
Aku tak sedar jawapan aku yang
itu telah buat abang terluka. Memang la aku tak sedar, sebab sejurus aku ucap
ayat itu, terus aku tinggalkan abang terkontang kanting di pusat membeli belah
seorang diri. Aku pulang dengan teksi. Padan muka dia!
Bila abang tak turun makan malam
hari itu, Mama membawa masuk makanan ke bilik abang. Aku? Mama suruh aku pada
permulaannya, tapi aku enggan. Malas! Dan dari situ Mama tahu aku telah katakan
sesuatu yang buat abang terluka. Pada mulanya, aku ingat abang telah
memburukkan aku dihadapan Mama, rupanya tak. Katanya Mama, tak ada orang yang
boleh buat abang terluka melainkan aku. Nampaknya Mama tahu setiap perangai
anaknya. Tapi aku masih tak suka abang.
Bila aku dah matang, baru aku
sedar hal sebenar. Bila Mama cakap abang sakit, abang benar-benar sakit. Aku
ingatkan sebab Mama sayangkan abang lebih, jadi Mama gunakan alasan itu untuk
aku mengalah dengan abang. Aku pernah lihat abang dimasukkan hospital
tiba-tiba. Rupaya hidup abang singkat. Lagi singkat dari aku sebab penyakit yang
dialami abang. Rasa macam tak adil sebab aku dan dia kembar tapi dia yang akan
‘pergi’ dulu dari aku. Dari situ, aku mula sayang abang, mula bertolak ansur
dengan abang.
Aku tak tahu apa penyakit abang
yang sebenar, sebab abang banyak berahsia dengan aku. Bila aku tanya, dia cuma
minta aku jangan risaukan dia. Ah… kata kembar, tapi berahsia antara satu sama
lain. Itu yang kadangkala aku berkecil hati dengan dia. Tapi aku tak tunjuk
depan dia, tapi abang seolah-olah tahu yang aku sedang berkecil hati dengan
dia, terus dia akan belikan aiskrim coklat kegemaran aku. Mungkin sebab kami
kembar, itu yang buat abang faham aku. Tapi aku tak pernah tahu apa yang abang
fikirkan, kecuali, bila aku tiba-tiba sakit tanpa sebab walau sementara, ketika
itulah aku tahu abang sedang menahan sakit dari penyakit yang dia alami.
Dah tiga tahun abang pergi
menghadap DIA, tapi aku tak pernah rasa kehilangan dia. Kadang-kadang bila hari
hujan, aku akan hulurkan tangan aku ke dalam hujan ibarat abang pegang tangan
aku ketika kami keluar. Dan ada ketika abang akan muncul dalam mimpi aku dan
kami akan berbual ibarat tiada apa-apa yang berlaku. Seperti masa dulu, cuma
yang bezanya, dia sudah menjadi ‘penduduk’ di dunia sebelah sana. Dan aku akan
menyusurinya satu hari nanti, dia katakan itu pada aku.